top of page

LIGA SUPER: NEGERI SEMBILAN BANGKIT IKAT STAR CITY, AKHYAR JADI WIRA

Writer: Editor
Editor
Sep 5
2 min read

Negeri Sembilan FC (NSFC) bangkit pada penghujung perlawanan untuk mengikat Star City FC 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.


Pemain pinjaman daripada Terengganu FC, Akhyar Rashid, muncul wira skuad Hobin Jang Hobin apabila meledak kedua-dua gol tuan rumah, termasuk jaringan penyamaan pada masa kecederaan.


Keputusan itu pastinya melegakan penyokong Negeri Sembilan selepas pasukan berkenaan mengalami kekalahan dalam dua perlawanan terdahulu, termasuk aksi Piala FA.


Star City terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi Pedro Henrique Oliveira Da Silva.


Pedro bijak mengambil kesempatan selepas berjaya memperdayakan benteng pertahanan Negeri Sembilan termasuk penjaga gol Muhammad Azri Ghani yang keluar meninggalkan kawasan gol, sebelum menolak bola ke dalam gawang yang terbuka.


Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat anak buah Daniel Gimenez Alcañiz yang terus berusaha mencari gol penyamaan.


Beberapa percubaan menerusi Yuichi Hirano dan Akhyar bagaimanapun gagal menghasilkan jaringan sehingga tamat babak pertama.


Bersambung pada separuh masa kedua, Star City terus menghukum kelemahan pertahanan tuan rumah apabila menggandakan kelebihan seawal minit ke-46.


Moses Atede Jona Atululu melakukan gerakan solo sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Azri untuk menjadikan kedudukan 2-0.


Walaupun sudah mendahului dengan dua gol, Star City terus memberikan tekanan bagi memburu jaringan ketiga.


Alcañiz kemudian melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan penyerang muda Abdul Rahman Daud bagi menggantikan Javabilaarivin dalam usaha memperkuatkan jentera serangan Negeri Sembilan.


Percaturan itu membuahkan hasil apabila Abdul Rahman dijatuhkan Rafael Victor di dalam kotak penalti, sekali gus memberikan peluang kepada tuan rumah untuk merapatkan jurang.


Akhyar yang mengambil tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75 dengan tenang bagi menjadikan kedudukan 1-2.


Jaringan tersebut menyuntik semangat baharu kepada Negeri Sembilan yang meningkatkan tekanan ke atas benteng pertahanan Star City.


Usaha tanpa mengenal penat lelah itu akhirnya membuahkan hasil pada masa kecederaan apabila Akhyar sekali lagi mencetuskan kegembiraan penyokong tuan rumah dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-90+4.


Keputusan 2-2 itu menyaksikan Negeri Sembilan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol.


Akhyar pula menjadi watak utama kebangkitan dramatik Negeri Sembilan apabila menyumbangkan kedua-dua gol untuk memastikan pasukannya terlepas daripada kekalahan di laman sendiri.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page