LIGA SUPER: NEGERI SEMBILAN PAMER SEMANGAT JUANG, IKAT KUCHING CITY DI PAROI
- Editor

- Aug 30
- 2 min read

Seremban: Negeri Sembilan FC tidak rela tunduk di laman sendiri apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan dramatik 2-2 menentang Kuching City dalam aksi sengit Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Disaksikan ribuan penyokong setia skuad Jang yang membanjiri stadium dengan sorakan padu, anak buah Nidzam Jamil turun dengan keyakinan tinggi selepas kemenangan bergaya mereka ke atas Selangor minggu lalu.
Namun, aura itu seakan terpadam apabila pasukan pelawat lebih garang di awal permainan.
Kuching City yang dikemudi Aidil Sharin Sahak bermula cemerlang apabila Danial Asri bijak memanfaatkan ruang untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-19, sekali gus mengejutkan penyokong tuan rumah.
Lebih mendebarkan, Ronald Ngah hampir menambah derita Negeri Sembilan pada minit ke-30, tetapi ketangkasan penjaga gol, Azri Ghani menyelamatkan keadaan.
Negeri Sembilan cuba bangkit sebelum tamat babak pertama menerusi gerakan menarik Aung Wai Lin, namun penyudah lemah pemain tengah Myanmar itu mudah dibaca penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Memasuki babak kedua, Kuching sekali lagi tampil garang apabila hanya dua minit selepas wisel dibunyikan, mereka menggandakan kelebihan hasil jaringan kemas yang membuatkan penyokong tuan rumah terdiam seketika.
Namun, kecekalan skuad Jang tidak boleh dipandang remeh. Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan mula mengasak dan usaha berterusan akhirnya berhasil apabila penyerang import, Joseph Esso merapatkan jurang pada minit ke-80, sekaligus meniup semula semangat kebangkitan.
Drama sebenar tercetus di penghujung perlawanan apabila Luis Enrique Nsue muncul wira dengan jaringan penyamaan pada masa kecederaan.
Gol itu bukan sahaja menyelamatkan maruah Negeri Sembilan, malah membuatkan stadium bergema dengan sorakan bagaikan meraikan kemenangan.
Keputusan seri itu menyaksikan Negeri Sembilan terus mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri, manakala Kuching City terpaksa akur melepaskan tiga mata penuh yang sudah hampir dalam genggaman.
Bagi Nidzam Jamil, semangat juang anak buahnya wajar dipuji kerana enggan mengangkat bendera putih biarpun ketinggalan dua gol. Manakala Aidil Sharin pastinya kecewa apabila anak didiknya gagal mempertahankan kelebihan sehingga ke wisel penamat.










Comments