PIALA MALAYSIA: JDT LENGKAPKAN SEMUA PIALA KEJUARAAN LIGA MALAYSIA
- Editor

- May 24
- 2 min read

Johor Darul Ta'zim FC akhirnya mengesahkan status selaku kuasa besar bola sepak negara apabila berjaya menjulang trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Skuad kendalian Xisco Munoz turun dengan barisan terbaik apabila mempertaruhkan Bergson Da Silva selaku tonggak utama di jentera serangan, dibantu kreativiti Marcos Guilherme di bahagian tengah. Dalam masa sama, Kuching City membuat kejutan apabila meletakkan Ronald Ngah Wanja di bangku simpanan.

Seawal wisel permulaan, JDT terus menguasai permainan menerusi corak hantaran pendek yang kemas dan tersusun. Namun, Kuching City tidak mudah menyerah apabila beberapa kali melancarkan tekanan tinggi serta serangan balas pantas bagi mengganggu rentak Harimau Selatan.
Peluang pertama JDT hadir seawal minit kelapan menerusi Marcos Guilherme, namun percubaannya berjaya dihalang pertahanan Kuching City, Yuki Tanigawa yang bertindak cemerlang melakukan hadangan tepat pada masanya.
Tiga minit kemudian, Bergson berjaya meledak bola ke gawang lawan, namun jaringan tersebut dibatalkan pengadil selepas beliau didapati melakukan kekasaran terhadap Rodney Celvin dalam situasi sebelum gol terhasil.
Kuching City mula menemui rentak apabila memperoleh peluang terbaik pada minit ke-19. Ramadhan Saifullah hampir menceriakan penyokong The Cats selepas menerima hantaran kemas daripada João Pedro, namun rembatan yang dilepaskan sedikit tersasar.
Menjelang tamat separuh masa pertama, penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli muncul watak penting apabila melakukan dua penyelamatan berturut-turut untuk menafikan percubaan berbahaya daripada Nacho Mendez dan Bergson. Aksi tangkasnya memastikan kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, JDT meningkatkan intensiti permainan dengan hampir keseluruhan pemain berkampung di kawasan lawan bagi memburu jaringan pembukaan.
Pada minit ke-61, Kuching City memperoleh peluang keemasan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Ramadhan Saifullah dijatuhkan di dalam kotak penalti. Namun, pemain itu gagal memanfaatkan peluang tersebut apabila sepakan yang diambil tersasar daripada gawang.
JDT terus menggandakan asakan dan hampir membuka jaringan pada minit ke-66 menerusi Bergson, tetapi sekali lagi Haziq Nadzli tampil cemerlang menepis rembatan deras penyerang import itu.
Kuching City turut memiliki peluang terbaik mereka pada minit ke-75 apabila Jerome Etame melakukan larian solo menarik sebelum melepaskan rembatan, namun percubaan tersebut tersasar jauh.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-80 apabila Marcos Guilherme muncul wira JDT menerusi rembatan lencong menarik yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan untuk meletakkan Harimau Selatan di depan 1-0.
Ketika perlawanan menghampiri penghujung aksi, Arif Aiman Hanapi yang kembali beraksi selepas 186 hari diketepikan akibat kecederaan mencuri tumpuan apabila meledak jaringan kedua JDT sekali gus menambah kelegaan buat penyokong Harimau Selatan.

Stuart Wilkin sempat menjaringkan gol tambahan, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas Yago Santos dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
JDT terus mengawal permainan sehingga wisel penamat dibunyikan dan kemenangan 2-0 itu sekali gus menghadiahkan trofi keenam musim ini buat Harimau Selatan, sekali lagi mengukuhkan dominasi mereka dalam arena bola sepak tempatan.





Comments