LIGA SUPER: NSFC PATUT MAIN ASIA - PENYOKONG SKUAD JANG
- Editor
- 6 days ago
- 1 min read

Pertembungan juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Johor Darul Ta'zim (JDT), menentang Negeri Sembilan menyajikan perlawanan cukup memukau, dan menarik perhatian peminat tempatan.
Harimau Selatan terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan skuad Jang di halaman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim (SSI), semalam.
Meninjau ruangan komen Sang Rusa termasuk hantaran Astro Arena, penyokong bola sepak Malaysia menzahirkan keterujaan melihat aksi memukau anak buah Nidzam Jamil berjaya membolosi gawang JDT dan menampilkan permainan berkualiti.
Pelbagai reaksi dikongsikan sambil menganggap Negeri Sembilan sebagai salah satu pencabar Liga Super musim ini. Rata-rata penonton kagum dan terkejut dengan persembahan kelab Hoben Jang Hoben itu meskipun bermain di tempat lawan.
Bahkan, skuad Jang itu mendahului 2-0 dalam 12 minit pertama bermula dengan jaringan Joseph Esso pada minit kelapan disusuli sentuhan pemusnah bekas tonggak Kuala Lumpur (KL) City, Jovan Motika.
Bagaimanapun, juara Piala Malaysia itu memastikan mereka tidak ketinggalan sebelum ke bilik persalinan apabila bintang warisan Harimau Malaya, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo, berhasil mendapatkan gol penyamaan dalam tempoh empat minit, masing-masing dengan gol pada minit ke-38 dan 41.
JDT berada di depan buat kali pertama pada minit ke-57, juga menerusi sentuhan Irazabal dan seminit kemudian, Arif Aiman Hanapi menjadikan kedudukan 4-2 memihak Harimau Selatan.
Tiada erti mengalah buat Negeri Sembilan untuk Motika kembali merapatkan kedudukan menerusi gol kedua peribadinya pada minit ke-60.
Bergson da Silva, yang masuk sebagai pemain gantian, memahat sejarah peribadi dengan jaringannya dalam waktu kecederaan untuk memastikan kemenangan 5-3 JDT. Sumber Stadium Astro
Comments