LIGA SUPER: PAULO JOSUE MUNCUL WIRA, KL CITY FC BANGKIT TEWASKAN DPMM FC 1-0


Kuala Lumpur City FC (KL City FC) akhirnya menemui semula rentak kemenangan apabila menewaskan DPMM FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Kemenangan itu hadir selepas skuad kendalian Datuk Dollah Salleh sebelum ini dibelasah 6-0 oleh Kuching City FC, sekali gus menjadi suntikan moral penting buat KL City untuk kembali bersaing dalam saingan liga.
DPMM FC pula hadir dengan keyakinan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC dalam perlawanan terdahulu.
Dollah menurunkan dua penyerang berpengalaman, Syafiq Ahmad dan Paulo Josue, bagi mengetuai jentera serangan tuan rumah, manakala DPMM mempertaruhkan Danial Asri dan Oscar Santis sebagai ancaman utama di bahagian hadapan.
Pada separuh masa pertama, KL City FC berdepan kesukaran untuk menembusi benteng DPMM yang tersusun menerusi formasi 4-1-4-1.
Pelbagai percubaan yang direncanakan tuan rumah berjaya dipatahkan barisan pertahanan pelawat, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan.
DPMM hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi Danial Asri, namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol KL City, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.
Menjelang penghujung babak pertama, Ebenezer Aban turut hampir meletakkan DPMM di hadapan, tetapi pertahanan KL City bertindak pantas mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Dollah melakukan perubahan dengan memasukkan bekas pemain Sabah FC, S. Kumaahran bagi menggantikan Syafiq Ahmad dalam usaha meningkatkan daya serangan pasukannya.
Perubahan itu hampir membuahkan hasil apabila Josue menguji penjaga gol DPMM, Haimie Abdullah Nyaring, pada minit ke-50, namun percubaan penyerang berusia 37 tahun itu berjaya diselamatkan.
DPMM kemudian melakukan beberapa pertukaran pemain dengan memasukkan Dalberto Belo Luan, Hakeme Yazid Said dan Jordan Murray bagi meningkatkan ancaman di bahagian serangan.
Bagaimanapun, percubaan pasukan pelawat untuk memecahkan kebuntuan terus menemui jalan buntu.
Keadaan menjadi lebih sukar buat KL City apabila mereka terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain selepas Gary Steven dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin.
Namun, kekurangan seorang pemain tidak menghalang KL City daripada memburu kemenangan.
Usaha tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Josue muncul wira pasukan dengan menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan.
Jaringan tersebut memastikan KL City FC meraih kemenangan 1-0, sekali gus menamatkan penantian mereka untuk kembali mencatat keputusan positif.
DPMM FC selepas ini dijadualkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 September, manakala KL City FC akan menerima kunjungan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada tarikh sama.





Comments