top of page

LIGA SUPER: SELANGOR BERPESTA GOL, BENAM TERENGGANU 5-2

  • Writer: Editor
    Editor
  • Aug 28
  • 2 min read

ree

PETALING JAYA: Selangor FC akhirnya bangkit dengan penuh bergaya apabila menundukkan Terengganu FC 5-2 dalam aksi penuh dramatik minggu keempat Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.


Selepas melalui dua perlawanan mengecewakan – seri 1-1 menentang Buriram United dalam Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup dan tewas mengejut 1-2 kepada Negeri Sembilan – Gergasi Merah nyata tidak mahu terus keciciran mata dan tampil dengan aksi penuh bernafsu di hadapan penyokong sendiri.


Bermula garang sejak awal, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi menguasai permainan dengan hantaran kemas dan gerakan pantas. Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-17 apabila penyerang import dari Brazil, Chrigor Moraes, menyudahkan peluang untuk meletakkan tuan rumah di depan.

ree

Selangor tidak menunggu lama untuk menambah derita pelawat. Pemain sayap lincah, Alvin Fortes, bijak memanfaatkan kelalaian pertahanan Terengganu untuk menjaringkan gol kedua, sekali gus menghangatkan sorakan penyokong Gergasi Merah.


Moraes kemudian mencuri tumpuan apabila mempamerkan penyudah tajam dengan menambah dua lagi jaringan, melengkapkan hatrik peribadi dalam separuh masa pertama. Stadium MBPJ bergema dengan sorakan apabila Selangor melangkah ke bilik persalinan dengan kedudukan selesa 4-0.


Memasuki babak kedua, Terengganu jelas cuba bangkit. Beberapa gerakan serangan direncanakan oleh anak buah Tomislav Steinbrückner dan usaha itu berhasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti. Pemain import, Gabriel Silva, tenang menyempurnakan peluang untuk merapatkan jurang.


Momentum Sang Penyu semakin meningkat dan mereka berjaya menambah gol kedua menerusi Junior Ngong Sam yang memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan Selangor. Kedudukan 4-2 kembali membangkitkan semangat pelawat yang mahu mencipta kebangkitan dramatik.


Namun, hasrat itu dipadamkan oleh penyerang muda kebangsaan, Alif Izwan Yuslan, yang muncul sebagai ‘super-sub’ dengan jaringan kelima Selangor pada penghujung perlawanan. Gol itu sekaligus menutup pintu kebangkitan Terengganu dan mengesahkan kemenangan bergaya 5-2 buat Gergasi Merah.

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Terengganu musim ini, manakala Selangor melonjak ke tangga keempat Liga Super dengan kutipan enam mata selepas empat perlawanan.


Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi, memuji semangat juang anak buahnya yang menurutnya menunjukkan keberanian selepas dikecewakan dalam dua aksi sebelum ini.

“Kami tahu perlawanan ini penting untuk mendapatkan semula keyakinan.


Pemain beraksi dengan penuh disiplin, Moraes menunjukkan kualiti sebagai penyerang utama, dan gol lewat Alif memberikan penutup yang sempurna,” katanya selepas perlawanan.


Bagi penyokong Gergasi Merah, kemenangan besar ini dianggap titik kebangkitan untuk mengembalikan maruah pasukan selepas dikecam akibat prestasi tidak konsisten.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2025 Sports Republic™. All Rights Reserved.  
sportsrepublic.asia is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.
bottom of page