top of page

MASKOT TUAH DAN TEMA 'RAIKAN PERPADUAN' BAGI SUKAN SEA DAN SUKAN PARA ASEAN 2027

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jul 14
  • 2 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 hari ini melancarkan logo rasmi, maskot serta tema bagi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027 sebagai identiti rasmi temasya sukan dwitahunan itu yang bakal berlangsung di Malaysia.



Majlis pelancaran yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Dr. Mohamed Taufiq Johari.


Pada majlis berkenaan, maskot rasmi yang dikenali sebagai TUAH diperkenalkan sebagai simbol semangat kebersamaan dan perpaduan rakyat Malaysia serta negara-negara ASEAN.


Maskot dan Tema Rasmi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027
Maskot dan Tema Rasmi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027

Reka bentuk maskot itu diinspirasikan daripada imej seorang wira moden yang dinamik, berkeyakinan dan mudah didekati, sekali gus mencerminkan generasi baharu Malaysia yang berani menghadapi cabaran, positif, berdaya saing serta menghargai kepelbagaian sebagai satu kekuatan.


Menurut KBS, nama TUAH dipilih kerana melambangkan kejayaan, kecemerlangan dan keberuntungan yang dicapai menerusi usaha gigih, disiplin, ketekunan, kesetiaan serta semangat perpaduan.


Bagi melengkapkan identiti temasya, tema "Raikan Perpaduan" atau "Celebrating Unity" dipilih sebagai tunjang utama penganjuran Malaysia 2027, bertepatan dengan aspirasi menjadikan perpaduan sebagai kekuatan utama Malaysia dan rantau ASEAN.


Logo rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14
Logo rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14

Sementara itu, logo rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 direka bagi menggambarkan aspirasi Malaysia dalam menyatukan negara-negara ASEAN melalui semangat kesukanan. Setiap elemen pada logo membawa simbolik tersendiri yang saling melengkapi untuk membentuk identiti visual yang moden, dinamik dan mudah dikenali di peringkat antarabangsa.


Dalam ucapannya, Dr. Mohamed Taufiq berkata tema yang diperkenalkan kali ini mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masa depan sukan di rantau Asia Tenggara.


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Dr. Mohammed Taufiq Johari
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Dr. Mohammed Taufiq Johari

"Tema ini akan menjadi seruan kepada semua atlet untuk melangkaui had kemampuan mereka dalam usaha mencapai kecemerlangan di pentas pertandingan," katanya.

Beliau berkata logo rasmi pula melambangkan dinamisme, kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat Asia Tenggara yang digabungkan dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif.


Menurut beliau, maskot TUAH bukan sekadar identiti visual, malah melambangkan keberanian, semangat kesukanan yang dinamik, inovasi serta aspirasi Malaysia sebagai negara yang berpaksikan kemajuan teknologi.


Pelancaran identiti rasmi itu menjadi satu lagi langkah penting dalam persiapan Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar Asia Tenggara, selain memperkukuh komitmen negara untuk menganjurkan Sukan SEA Ke-34 pada 18 hingga 29 September 2027 serta Sukan Para ASEAN Ke-14 pada 17 hingga 23 Oktober 2027 secara inklusif, mampan dan bertaraf antarabangsa.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page