MFL: ABK DIJENAMAKAN SEMULA SEBAGAI LIGA M AWARDS, EDISI PERTAMA OGOS 2026


Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) secara rasmi dijenamakan semula sebagai Liga M Awards susulan keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kedua Malaysian Football League (MFL) bagi penggal 2025-2029.
Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat yang dipengerusikan Presiden MFL, Dato' Ab Ghani Hassan, dengan penjenamaan baharu tersebut dilihat lebih mencerminkan fungsi anugerah berkenaan sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan individu dan pasukan yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).
Selain perubahan nama, MFL turut memutuskan Liga M Awards akan dianjurkan pada Ogos 2026, berbeza daripada amalan sebelum ini yang menyaksikan majlis penyampaian anugerah diadakan sejurus selepas berakhirnya musim.
Menurut MFL, perubahan jadual itu bertujuan memberi ruang kepada Jawatankuasa Pemilih Liga M Awards membuat penilaian secara lebih menyeluruh berdasarkan prestasi pemain dan jurulatih sepanjang satu musim penuh.
Penilaian akan meliputi keseluruhan perjalanan musim 2025-2026 bermula daripada aksi pembukaan Liga Super sehingga perlawanan terakhir musim iaitu Final Piala Malaysia.
Pendekatan itu dijangka membolehkan prestasi sebenar setiap calon dinilai dengan lebih tepat, termasuk mengambil kira sumbangan dalam perlawanan-perlawanan penting di penghujung musim seperti jaringan gol, bantuan gol serta aksi menyelamat yang memberi impak besar kepada pasukan.
MFL turut menjelaskan bahawa statistik pemain akan menjadi lebih komprehensif memandangkan seseorang pemain berpeluang mengharungi sehingga 38 perlawanan sepanjang musim merangkumi saingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.
Sebanyak 15 kategori akan dipertandingkan pada edisi sulung Liga M Awards, termasuk Anugerah Kasut Emas, Pemain Import Terbaik, Penyerang Terbaik serta Pemain Muda Terbaik, sebagai usaha mengiktiraf pencapaian cemerlang pemain, jurulatih dan pasukan sepanjang musim Liga Malaysia.





Comments