MFL NAIK TARAF LUAR BIASA LESEN EMPAT KELAB LIGA A1 SEMI-PRO
- Editor

- 1 day ago
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Kelantan Red Warrior FC muncul antara empat kelab Liga A1 Semi-Pro yang berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada Malaysian Football League (MFL), sekali gus membuka peluang untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL yang berlangsung pada 26 Mei lalu selepas menilai semua permohonan dikemukakan kelab bertanding.
Selain KRW FC, tiga lagi pasukan yang turut menerima lesen berkenaan ialah UM Damansara, Bunga Raya FC dan Armed Forces.
Kelulusan itu menjadi syarat penting buat mana-mana kelab Liga A1 yang berhasrat untuk dinaikkan ke Liga Super musim 2026/27.
Ketua Pegawai Eksekutif Amateur Football League (AFL), Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, pemilikan lesen MFL menjadi elemen utama dalam menentukan kelayakan sesebuah pasukan untuk bersaing di pentas tertinggi bola sepak negara.
“Daripada segi promosi (dinaik pangkat) dan kemungkinan ada pasukan yang menarik diri tidak boleh dipastikan lagi.
“Kelab Liga A1 harus menjalani pelesenan kelab oleh MFL untuk bermain dalam Liga Super,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Perkembangan itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya satu wakil dari Kelantan bakal mewarnai saingan Liga Super musim depan.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa Kelantan The Real Warriors FC apabila permohonan lesen mereka gagal diluluskan FIB.
Menurut kenyataan badan itu, kegagalan pasukan berkenaan berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap beberapa kriteria yang ditetapkan dalam peraturan pelesenan kelab MFL.





Comments