top of page

PENGADIL FIFA ELITE AFC DARI QATAR AKAN KENDALIKAN FINAL PIALA MALAYSIA

  • Writer: Editor
    Editor
  • 6 days ago
  • 1 min read

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan empat pegawai perlawanan berprofil tinggi dari negara Qatar akan mengendalikan aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Barisan pegawai terbabit diketuai Mohammed Ahmed Al Shammari selaku pengadil utama, dibantu Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf masing-masing sebagai penolong pengadil pertama dan kedua, manakala Meshari Ali Alshamari bertindak sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).


Menurut kenyataan FAM, kesemua mereka merupakan pengadil bertaraf FIFA serta Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berpengalaman luas mengendalikan perlawanan berintensiti tinggi di peringkat antarabangsa.


“Pengadil bersama kedua-dua penolong pengadil serta pengadil VAR pernah mengendalikan beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia B-17 FIFA dan final Qatar Emir Cup, sekali gus membuktikan pengalaman serta kredibiliti mereka,” menurut kenyataan itu.


FAM menjelaskan pelantikan pengadil luar negara dibuat selepas menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan mutu pengadilan terbaik untuk aksi final edisi ke-99 kejohanan berprestij berkenaan.


Sebagai kejohanan tertua dan paling berprestij dalam bola sepak tempatan, FAM menegaskan komitmen mereka untuk memastikan setiap aspek penganjuran termasuk mutu pengadilan berada pada tahap tertinggi.


Ini bukan kali pertama badan induk itu menggunakan khidmat pengadil luar negara bagi aksi final domestik. Pada final Piala FA Malaysia 2019 yang menemukan Perak FC dan Kedah Darul Aman FC, FAM turut melantik tiga pegawai perlawanan dari Jepun diketuai Takuto Okabe bersama Akane Yagi dan Osamu Nomura.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page