top of page

PIALA DUNIA: NAGELSMANN DIKECAM, JERMAN TERSINGKIR AWAL PIALA DUNIA 2026

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jul 1
  • 1 min read

Ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann, menerima tekanan hebat daripada media dan penyokong selepas kegagalan skuad Die Mannschaft meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Dunia 2026.


Juara dunia empat kali itu menamatkan kempen lebih awal apabila tewas kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi pusingan 32 terakhir yang berlangsung di Stadium Boston, awal pagi semalam.


Kekalahan itu mencetuskan gelombang kritikan terhadap corak permainan Jerman yang dilihat tidak meyakinkan selain mempersoalkan semangat juang pemain ketika detik penentuan.


Laporan media tempatan mendakwa berlaku situasi apabila beberapa pemain enggan tampil mengambil tanggungjawab melakukan sepakan penalti, sekali gus mengundang perhatian ramai.


Pertahanan, Jonathan Tah, akhirnya tampil sebagai penyepak keenam, namun percubaannya gagal menghasilkan gol apabila rembatan dilepaskan tinggi melepasi palang.



Nagelsmann yang sebelum ini memberi bayangan mahu meneruskan tugas bersama pasukan kebangsaan kini menjadi sasaran utama kritikan dengan tinjauan pendapat dalam kalangan penyokong menunjukkan ramai mahukan perubahan dilakukan.


Media Jerman turut menyifatkan kegagalan kali ini sebagai satu lagi episod suram buat gergasi Eropah itu selepas turut mengecewakan pada kempen di Qatar sebelum ini apabila terkandas seawal peringkat kumpulan.


Tekanan kini semakin memuncak terhadap Nagelsmann ketika masa depan beliau bersama skuad kebangsaan terus menjadi tanda tanya.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page