PIALA FA: STAR CITY FC MARA KE SUKU AKHIR PIALA FA, SINGKIR KEDAH FA SECARA AGREGAT 4-2


Star City FC (SCFC) mara ke peringkat suku akhir Piala FA 2026/2027 selepas menewaskan Kedah FA (KFA) 2-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, sekali gus menang dengan agregat 4-2.
Kemenangan itu memastikan SCFC melangkah ke kelompok lapan terbaik selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah sebelum ini.
SCFC membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi pemain import dari Brazil, Pedro Henrique Oliveira Da Silva, yang menyarung jersi nombor 10, bagi memberikan kelebihan kepada tuan rumah pada separuh masa pertama.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat 45 minit pertama, termasuk empat minit masa tambahan yang diberikan pengadil perlawanan.
Memasuki babak kedua, SCFC terus memperkemaskan permainan dan menggandakan kelebihan pada minit ke-57 menerusi seorang lagi pemain import dari Brazil, Douglas Felisbino De Oliveira, yang memakai jersi nombor 97.
Pemain kelahiran Sao Paulo yang berketinggian kira-kira 1.88 meter itu sekali lagi mencuri tumpuan selepas turut mencetak gol ketika aksi pertama di Stadium Darul Aman.
Menariknya, Pedro dan Douglas merupakan dua pemain yang sama menjaringkan gol untuk SCFC dalam pertemuan pertama, masing-masing menyumbang satu gol ketika pasukan itu terikat 2-2 dengan KFA.
Walaupun tiga minit masa tambahan diberikan pada penghujung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.
Keputusan itu menyaksikan SCFC melengkapkan kemenangan agregat 4-2 untuk menempah tiket ke suku akhir Piala FA 2026/2027.
SCFC kini hanya menunggu keputusan aksi antara Selangor FC dan Sabah FC bagi mengetahui calon lawan mereka pada peringkat suku akhir.





Comments