SHOPEE CUP: SFC BAKAL TEMPANG TANPA DUA TONGGAK IMPORT
- Editor

- 4 days ago
- 1 min read

Kehilangan dua tonggak import dari Jordan bakal menjadi tamparan besar buat Selangor FC menjelang aksi final kedua ACC Shopee Cup menentang Buriram United di Thailand, Rabu ini.
Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain tengah kreatif Noor Al-Rawabdeh dan pertahanan Mohamad Abualnadi dijangka tidak dapat diturunkan selepas kedua-duanya dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan Jordan bagi persiapan menghadapi 2026 FIFA World Cup bulan depan.
Kehilangan dua pemain itu pastinya merencatkan perancangan pengendali Selangor, Kim Pan-gon, lebih-lebih lagi ketika Gergasi Merah sedang memburu kebangkitan dalam aksi timbal balik final kejohanan tersebut.
Noor sebelum ini menjadi nadi utama jentera tengah Selangor menerusi kreativiti serta kemampuan mengawal tempo permainan, manakala Abualnadi pula tonggak penting di benteng pertahanan.
Malah, kedua-dua pemain berkenaan turut memainkan peranan besar membantu Jordan layak buat kali pertama ke Piala Dunia, sekali gus menjadikan pemanggilan mereka ke kem kebangsaan satu keutamaan buat negara Asia Barat itu.
Situasi itu menyaksikan Selangor kini perlu mencari formula terbaik untuk mengekang kekuatan Buriram United di laman lawan, selepas gagal membawa bekalan selesa daripada aksi pertama.





Comments