SIAPA BAKAL RAIH GELARAN PENJARING TERBANYAK LIGA SUPER 2025/26
- Editor

- 2 days ago
- 2 min read

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva terus membuktikan ketajamannya apabila meledak hatrik sempurna dalam aksi Liga Super menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), sekali gus membantu Harimau Selatan membenam lawan mereka dengan kemenangan besar. Penjaring terbanyak Liga Super untuk dua musim, Bergson da Silva tampak berada pada landasan yang cerah untuk meraih gelaran penjaring terbanyak Liga Super buat kali ketiga pada musim ini.
Pemain kelahiran Brazil itu hanya memerlukan kurang seminit untuk membuka tirai jaringan apabila bijak menanduk masuk bola hasil gerakan pantas JDT sebaik wisel permulaan ditiup di Stadium Sultan Ibrahim.
Gol awal itu jelas menyuntik semangat skuad kendalian Xisco Munoz yang tampil garang sepanjang perlawanan dengan menguasai hampir keseluruhan aksi.
Tidak cukup dengan jaringan menerusi tandukan, Bergson kemudian melengkapkan hatrik sempurnanya apabila menjaringkan gol menggunakan kaki kanan dan kaki kiri, sekali gus memperlihatkan keupayaannya sebagai penyerang lengkap yang sukar dikekang benteng lawan.
Malah, aksi cemerlang bekas pemain kelab Thailand, BG Pathum United itu tidak terhenti setakat hatrik apabila beliau terus menggila dengan menghasilkan enam gol keseluruhan dalam perlawanan berkenaan.
Selain Bergson, pemain import JDT dari Argentina, Manuel Hidalgo turut mencuri tumpuan apabila meledak hatrik untuk membantu Harimau Selatan berpesta gol dalam aksi berat sebelah itu.
Kemenangan besar berkenaan sekali lagi memperlihatkan dominasi mutlak JDT dalam saingan domestik musim ini apabila jentera serangan mereka terus tampil berbisa tanpa belas ihsan terhadap lawan.
Enam jaringan yang dihasilkan Bergson juga menyaksikan beliau menutup kempen Liga Super musim ini dengan koleksi 27 gol, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak liga ketika ini.
Jumlah itu meletakkan Bergson empat gol di depan pencabar terdekatnya daripada Selangor FC, iaitu Chrigor Moraes yang sudah meledak 23 gol bersama The Red Giants musim ini.
Dengan Selangor masih berbaki satu lagi aksi liga menentang PDRM FC, Chrigor perlu menghasilkan sekurang-kurangnya lima gol sekiranya mahu memintas Bergson dalam perebutan gelaran kasut emas Liga Super.





Comments