top of page

TFC: SHEIKH FAROUK DILANTIK KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF TERENGGANU FC BAHARU

  • Writer: Editor
    Editor
  • 13 hours ago
  • 1 min read

ree

KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) hari ini mengumumkan pelantikan Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajuri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu kelab itu berkuat kuasa 4 Mei lalu.


Beliau menggantikan Mohd Sabri bin Abas yang bertukar ke perkhidmatan Kerajaan Negeri Terengganu. Dalam tempoh kekosongan jawatan tersebut, tugas CEO telah dipangku oleh Ketua Pegawai Operasi, Mohd Syahrizhan Mohd Zain.


Menurut kenyataan rasmi TFCSB, pelantikan Sheikh Farouk telah diputuskan secara tertib menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFCSB pada 27 Julai, selepas cadangan nama beliau dibentangkan pada mesyuarat terdahulu.


Sheikh Farouk berkelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian Dalam Kewangan) dari Arizona State University, Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan Akauntan Bertauliah dari CIMA, United Kingdom serta berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).


Mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Malaysian Employers Federation (MEF) dan Pengarah Urusan AEON BIG. Selain itu, beliau juga pernah bersama Nestle selama 18 tahun, berkhidmat di Malaysia serta beberapa negara lain termasuk Singapura, Filipina dan Switzerland.


Dalam arena sukan, Sheikh Farouk turut aktif apabila dilantik sebagai Pengerusi Impact Integrated, sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang memberi fokus kepada pembangunan belia dan e-sukan. Beliau juga merupakan bekas Penasihat Pemasaran FAM.


Pihak Terengganu FC yakin kepimpinan Sheikh Farouk mampu memperkukuhkan hala tuju kelab ke arah pengurusan yang lebih profesional serta menjadikan TFC sebagai sebuah kelab bola sepak bertaraf moden dan mapan di masa depan.


“Kami amat mengalu-alukan kepimpinan Sheikh Farouk yang diyakini mampu membawa agenda Terengganu FC ke tahap lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2025 Sports Republic™. All Rights Reserved.  
sportsrepublic.asia is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.
bottom of page