TMJ: ADA MASALAH LEBIH BESAR DARI ISU PEMAIN WARISAN
- Editor

- Mar 1
- 2 min read

JOHOR BAHRU: Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi tampil menyuarakan pandangan berhubung isu melibatkan pemain warisan skuad kebangsaan, Harimau Malaya, yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu komen yang dimuat naik di laman rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menutup pelbagai kelemahan dan kegagalan lain yang sudah lama membelenggu landskap bola sepak tanah air.

Menurut baginda, terdapat banyak lagi masalah besar dalam bola sepak Malaysia yang telah berlarutan sejak puluhan tahun, namun kurang diberi perhatian serius oleh pihak tertentu.
“Ada yang kononnya ‘expert’ cakap bola sepak Malaysia dah mati disebabkan isu mutu pengadilan dan kes pemain warisan.
“Mengapa tiada seorang pun bercakap mengenai krisis sebenar seperti pucuk kepimpinan lama badan induk yang tidak menyalurkan duit hak penyiaran televisyen kepada pasukan bertanding?
“Mengapa tiada siapa bangkitkan isu ketiadaan pertandingan kompetitif untuk pembangunan belia?” titah baginda.
Dalam nada tegas, Tunku Ismail turut mempersoalkan mengapa isu-isu lebih kritikal seperti kegagalan pengurusan kewangan dan masalah tunggakan gaji pemain yang berulang kali berlaku tidak dibahaskan secara terbuka.
Baginda menegaskan bahawa isu tidak membayar gaji, kegagalan mengurus kewangan kelab serta struktur pentadbiran yang lemah adalah masalah kronik yang sudah lama membelenggu Liga Malaysia.
“Mengapa tiada yang mempersoalkan isu bertahun-tahun tak bayar gaji dan kegagalan mengurus kewangan?
“Kenapa tiada yang mempersoalkan kita masih guna rumput lembu, keadaan stadium masih buruk, lampu limpah masih kuning?
“Mengapa tiada yang mempersoalkan pasukan tiada pusat latihan selepas berpuluh tahun? Mengapa tiada ‘so called’ pakar mempersoalkan isu-isu ini?” tambah baginda lagi.
Menurut Tunku Ismail, adalah mudah untuk mengalih perhatian penyokong dengan menuding jari kepada isu lain atau individu tertentu, sedangkan kelemahan sebenar berpunca daripada kegagalan pengurusan yang telah lama berakar umbi.
Baginda menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang cuba menyalahkan isu pemain warisan sebagai satu sikap hipokrit, sekali gus menutup kelemahan sendiri dan kegagalan pasukan yang telah wujud sekian lama.
“Kegagalan sahabat-sahabat mereka dalam pengurusan, kegagalan pasukan sendiri yang dah wujud berpuluh tahun. Pure hypocrites,” titah baginda dalam hantaran berkenaan.
Kenyataan itu dilihat sebagai satu peringatan keras kepada semua pihak agar tidak terus menyempitkan perbincangan kepada isu tertentu semata-mata, sebaliknya melihat gambaran lebih besar mengenai reformasi menyeluruh yang diperlukan dalam ekosistem bola sepak Malaysia.
Dalam masa sama, kenyataan tersebut turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang rata-ratanya bersetuju bahawa pembaharuan menyeluruh melibatkan aspek pengurusan, infrastruktur dan pembangunan akar umbi perlu diberi keutamaan sekiranya Malaysia mahu kembali bersaing di peringkat lebih tinggi.
Perkembangan ini sekali lagi membuktikan bahawa isu bola sepak negara bukan sekadar berkisar kepada prestasi di atas padang, tetapi turut melibatkan struktur pentadbiran dan hala tuju jangka panjang sukan nombor satu negara itu.





Comments