top of page

ALLAH MAHA BESAR. ALLAH YANG MENENTUKAN SEGALA REZEKI

  • Writer: Editor
    Editor
  • 4 days ago
  • 1 min read

Johor Darul Ta'zim terus mengukir sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan kejayaan itu sebagai satu lagi detik bersejarah buat Harimau Selatan dan landskap bola sepak negara. “Allah Maha Besar. Allah yang menentukan segala rezeki.


“Final berkualiti tinggi, tiada politik, tiada kebencian, hanya semangat dan cinta terhadap bola sepak.



“Tahniah JDT dan terima kasih Kuching City. Alhamdulillah,” tulis baginda.


Menurut beliau, pencapaian menjulang trofi berprestij itu empat musim berturut-turut belum pernah dilakukan mana-mana pasukan dalam sejarah bola sepak Malaysia.


“Empat kali berturut-turut juara Piala Malaysia, satu sejarah baharu dalam bola sepak Malaysia,” katanya menerusi hantaran ringkas selepas perlawanan.


Kejayaan terbaru itu menyaksikan JDT kini mengumpul enam gelaran Piala Malaysia selepas turut menjuarainya pada 2017, 2019, 2022, 2023, 2024-2025 dan 2025-2026.


Lebih membanggakan, kemenangan berkenaan turut melengkapkan quadruple domestik buat kali keempat berturut-turut buat skuad kendalian Harimau Selatan selepas sebelum ini menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini.


“Empat musim berturut-turut juga melengkapkan quadruple domestik,” katanya.

Dominasi berterusan JDT sekali lagi membuktikan kelab dari selatan tanah air itu masih sukar dicabar pencabar lain di pentas domestik.


Malah, revolusi yang dibawa Tunku Mahkota Ismail sejak lebih sedekad lalu berjaya mengangkat JDT sebagai antara kuasa besar bola sepak Asia Tenggara selain terus mencipta impak dalam saingan Asia.


Dalam aksi final itu, dua gol kemenangan Harimau Selatan dijaringkan menerusi Marcos Guilherme dan Arif Aiman Hanapi.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page