ACC SHOPEE CUP: JDT TERUS GARANG, BERGSON LEDAK HATRIK BENAM BANGKOK UNITED
- Editor

- Sep 26
- 1 min read

Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) di bawah kendalian jurulatih Xisco Munoz terus mempamerkan belang apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN, sekali gus mengekalkan kedudukan teratas Kumpulan B.
Dalam aksi penuh bertenaga di Stadium Sultan Iskandar Puteri, pasukan Harimau Selatan menewaskan wakil Thailand, True Bangkok United FC dengan keputusan 4-0, hasil ketajaman penyudah penyerang import berbisa, Bergson Da Silva yang mencetak hatrik.
Selepas aksi babak pertama berakhir tanpa jaringan, tuan rumah membuka tirai gol pada awal separuh masa kedua menerusi rembatan deras Bergson yang gagal ditampan kemas penjaga gol lawan, Pattiwat Khammai.
Enam minit kemudian, giliran rakan sepasukan dari Brazil, João Figueiredo, menggandakan kelebihan JDT selepas menerima hantaran cantik daripada senegaranya itu.

Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging buat benteng Bangkok United apabila menyambar bola muntah pada minit ke-73 untuk menjadikan kedudukan 3-0. Pemain itu kemudian melengkapkan malam gemilangnya dengan gol ketiga peribadi pada masa kecederaan, sekaligus memastikan kemenangan selesa 4-0 buat JDT.
Kejayaan bergaya ini bukan sahaja memperkukuhkan reputasi Harimau Selatan sebagai pencabar utama kejuaraan, malah menghiburkan 11,667 penyokong setia yang hadir membanjiri stadium meskipun perlawanan berlangsung pada waktu petang.
Dengan prestasi konsisten serta barisan pemain yang semakin serasi, JDT jelas menghantar mesej tegas bahawa mereka serius memburu kejuaraan sulung dalam kejohanan berprestij rantau ini.










Comments