ACLE : AKSI PENUH DEBAR, JDT ATASI VISSEL KOBE
- Saluddin Ismail

- 3 days ago
- 2 min read

ISKANDAR PUTERI: Juara Liga Malaysia, Johor Darul Ta'zim FC (JDT) menutup kempen peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elite musim 2025-2026 dengan bergaya selepas menewaskan gergasi Jepun, Vissel Kobe, 1-0 dalam aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam Selasa.
Kemenangan penting itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata penuh kepada Harimau Selatan, malah mengesahkan kemaraan mereka ke peringkat 16 terbaik tanpa perlu bergantung kepada keputusan perlawanan lain.
Dalam kesebelasan utama, JDT mempertaruhkan Andoni Zubiaurre sebagai benteng terakhir, manakala Hector Hevel diberi tanggungjawab mengemudi bahagian tengah dengan Bergson da Silva mengetuai jentera serangan.

Sementara itu, Vissel Kobe menurunkan penjaga gol berpengalaman, Shuichi Gonda, selain mempertaruhkan gandingan Jean Patric dan Yuta Goke sebagai sandaran utama di bahagian serangan.
Sejurus sepak mula, JDT tampil dengan tempo tinggi dan jelas bernafsu memburu jaringan awal. Bergson hampir menceriakan penyokong tuan rumah menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti, namun Gonda tangkas melayangkan badan menepis bola.
Tidak lama kemudian, Marcos Guilherme pula mencipta peluang apabila menerima hantaran di dalam kotak penalti, tetapi percubaannya sedikit tersasar.
Vissel Kobe tidak hanya bertahan, sebaliknya turut mengancam pada minit ke-20 menerusi rembatan Jean Patric, namun Zubiaurre cemerlang menyelamatkan gawang JDT daripada dibolosi.
Harimau Selatan hampir berada di depan hasil rembatan padu Nene dari dalam kotak penalti, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas pengadil mengesan beberapa pemain JDT berada dalam kedudukan ofsaid.
Babak pertama berakhir tanpa jaringan walaupun kedua-dua pasukan saling bertukar serangan.
Memasuki separuh masa kedua, JDT terus menekan benteng pelawat dengan sokongan padu puluhan ribu penyokong yang membanjiri Stadium Sultan Ibrahim.
Gol yang dicari hampir tiba pada minit ke-58 apabila Guilherme menyudahkan hantaran menarik Bergson, namun sekali lagi dibatalkan kerana ofsaid.
Vissel Kobe hampir mengejutkan tuan rumah pada minit ke-63 menerusi percubaan Jean Patric dari jarak dekat, namun bola hanya melewati sisi gawang.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-73 apabila pemain gantian, Jairo Da Silva, melakukan gerakan bijak di bahagian sayap sebelum menghantar bola tepat ke kaki Guilherme yang tenang menyudahkan peluang untuk meletakkan JDT di depan.
Gol tersebut disambut sorakan gemuruh penyokong, sekali gus menaikkan semangat pemain tuan rumah untuk mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.
Keputusan 1-0 itu memastikan JDT menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan enam terbaik Zon Timur, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik dan mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara kelab elit Asia.
Kejayaan ini turut menjadi bukti kemampuan Harimau Selatan bersaing dengan kelab-kelab gergasi benua itu, selain menjadi suntikan moral penting menjelang cabaran seterusnya di pentas Asia dan domestik.










Comments