ACLE: JDT BERPELUANG LAKAR SEJARAH DI SSI
- Editor

- Mar 4
- 2 min read

Menjelang pertembungan penting pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE), ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Muñoz memberi jaminan anak buahnya akan memberikan segala-galanya apabila turun menentang wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menegaskan bahawa perlawanan pertama pusingan kalah mati tersebut amat penting buat skuad Harimau Selatan dalam usaha membina kelebihan sebelum aksi timbal balik kedua yang dijadual berlangsung di Hiroshima pada 11 Mac depan.
Menurutnya, perlawanan menentang kelab dari negara Matahari Terbit itu dijangka berlangsung sengit memandangkan Sanfrecce Hiroshima memiliki reputasi serta kualiti permainan yang tinggi, sekali gus menuntut anak buahnya untuk menampilkan aksi terbaik sepanjang 90 minit permainan.
“Kami akan beri segalanya. Semua orang perlu memahami bahawa perlawanan esok sangat penting buat JDT,” katanya ketika ditemui menjelang perlawanan tersebut.
Muñoz menjelaskan, fokus tinggi dan disiplin taktikal perlu menjadi keutamaan jika pasukannya mahu memastikan keputusan positif di laman sendiri sebelum bertandang ke Jepun bagi aksi kedua.
Menurut beliau, JDT tidak boleh memberi ruang kepada pasukan lawan untuk menguasai permainan atau mencipta peluang berbahaya kerana Sanfrecce Hiroshima terkenal dengan corak permainan yang pantas, khususnya ketika melakukan transisi dari bertahan ke menyerang.
“Kami perlu menguasai permainan dengan kelebihan yang ada. Namun menguasai permainan sahaja tidak mencukupi kerana jika transisi mereka berjalan dengan baik, kami boleh berada dalam situasi sukar.
“Kami perlu memastikan struktur pertahanan berada pada tahap terbaik. Jika mereka mendahului, ia boleh menyukarkan keadaan buat kami,” katanya lagi.
Justeru, Muñoz menegaskan bahawa barisan pemain Harimau Selatan perlu memperkemaskan organisasi pertahanan selain memanfaatkan peluang yang terhasil bagi memastikan mereka membawa bekalan selesa ke Jepun minggu depan.
Dalam perkembangan sama, jurulatih berusia 44 tahun itu turut menarik nafas lega apabila pemain tengah kreatif, Óscar Arribas kembali memperkuatkan pasukan selepas selesai menjalani penggantungan kad pada perlawanan terdahulu.
Kehadiran Arribas dilihat mampu memberikan lebih variasi di bahagian tengah selain membantu menggerakkan jentera serangan pasukan yang turut dibarisi beberapa pemain import berkualiti.
Selain itu, Muñoz turut mengesahkan bahawa skuad JDT berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan penting tersebut tanpa sebarang masalah kecederaan membabitkan pemain utama.





Comments