ACLE: JDT TIDAK GUSAR TANPA TIGA TONGGAK UTAMA PEMAIN WARISAN
- Editor

- Sep 29, 2025
- 1 min read

Johor Bahru: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka menurunkan kesebelasan terbaik menjelang aksi getir menentang wakil Jepun, FC Machida Zelvia dalam saingan AFC Champions League Elite 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Seperti sedia maklum, FIFA mengenakan hukuman kepada tujuh tonggak negara termasuk tiga sandaran utama Harimau Selatan, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Joao Figueiredo, baru-baru ini.
Namun, jelas pengendali berusia 45 tahun itu, Harimau Selatan mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada aksi untuk meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bertemu gergasi Jepun, Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.
Ketua jurulatih, Xisco Munoz menegaskan pasukan memiliki kekuatan mendalam apabila hampir 30 pemain bersedia diturunkan pada bila-bila masa.
“Kami mempunyai hampir 30 pemain yang sentiasa bersedia untuk diturunkan. Kami akan menurunkan kesebelasan utama yang kami miliki, sesiapa sahaja yang diturunkan pasti akan memberikan persembahan yang baik,” jelas Xisco pada sidang media pra-perlawanan.
Sementara itu, tonggak pertahanan import, Shane Thomas Lowry mengakui cabaran menentang Machida Zelvia bukan tugas mudah, namun menegaskan skuad Harimau Selatan akan turun dengan semangat juang tinggi.
“Perlawanan esok pasti sengit buat kami. Kami perlu fokus kepada arahan dan taktikal dari jurulatih. Paling penting, kami mahu teruskan momentum kemenangan serta mengharapkan sokongan padu daripada penyokong setia yang memenuhi Stadium,” kata Lowry.
Perlawanan itu bakal menjadi ujian penting buat JDT dalam memburu tiga mata penuh di laman sendiri sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan saingan elit benua Asia tersebut.










Comments