AFIQ FAZAIL KEKAL DI JDT DENGAN 272 REKOD PENAMPILAN
- Editor

- May 25
- 1 min read

Afiq Fazail terus membuktikan statusnya sebagai antara tonggak paling penting buat Johor Darul Ta'zim FC apabila sah melanjutkan kontrak bersama kelab itu selama dua musim lagi.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak baharu selama dua musim sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia. Langkah tersebut memperlihatkan komitmen Harimau Selatan untuk terus mengekalkan pemain berpengalaman yang menjadi tunjang utama pasukan sejak beberapa musim lalu.
Sejak melakukan debut bersama JDT pada Januari 2017, Afiq telah mencatatkan 272 penampilan rasmi sekali gus muncul pemain dengan jumlah penampilan terbanyak dalam sejarah kelab.
Rekod itu mengatasi pencapaian legenda tengah negara, Safiq Rahim yang sebelum ini merekodkan 270 penampilan bersama Harimau Selatan.
Detik bersejarah itu tercipta ketika aksi final Piala Malaysia 2025–26 Final menentang Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Afiq turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama JDT beraksi dalam tujuh final Piala Malaysia sejak tahun 2017 — satu pencapaian yang menggambarkan konsistensi serta pengaruh besar beliau dalam era dominasi Harimau Selatan.
Pembaharuan kontrak ini juga memberi isyarat jelas bahawa JDT mahu terus mengekalkan kestabilan skuad dengan mengekalkan pemain-pemain berpengalaman demi memastikan kelab terus kompetitif di peringkat domestik dan Asia.





Comments