ARIF AIMAN: HILANG ARAH, BERSENDIRIAN DAN FIKIR KARIER BAKAL BERAKHIR
- Editor

- 4 days ago
- 1 min read

Pemain sayap berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mengakui pernah hilang arah dan berdepan tempoh paling sukar dalam kariernya sepanjang enam bulan bergelut dengan kecederaan sebelum kembali membantu Harimau Selatan menjulang kejuaraan.
Kepulangan semula tonggak muda sensasi itu nyata cukup bermakna apabila dia muncul wira JDT dalam final Piala Malaysia menerusi jaringan cantik dari luar kotak penalti ketika menewaskan Kuching City FC sekali gus memastikan Johor Darul Ta'zim FC terus mempertahankan kejuaraan.
Namun di sebalik detik gemilang itu, Arif Aiman mendedahkan dia sebenarnya melalui episod mencabar selepas mengalami kecederaan ketika bersama Harimau Malaya pada November lalu.
“Alhamdulillah, sukar untuk saya gambarkan perasaan ini. Saya banyak melalui situasi sukar sampai tidak tahu apa yang mahu difikirkan sepanjang enam bulan itu. Ini kecederaan paling lama dalam karier saya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana baginda menyediakan rawatan fisioterapi terbaik untuk saya.
“Selepas menjalani pembedahan, saya hilang arah pada tiga minggu awal. Saya banyak bersendirian dan memikirkan tentang karier saya walaupun tahu proses untuk kembali mengambil masa lama.
“Tetapi berkat doa keluarga, rakan sepasukan, penyokong dan semua yang sentiasa memberi semangat kepada saya, saya berjaya bangkit semula.
“Paling penting, Tunku Mahkota Ismail sentiasa menyokong saya dan memberikan kata-kata semangat,” katanya kepada Astro Arena.





Comments