top of page

ASEAN HYUNDAI CUP 2026: HARIMAU MALAYA KEKAL RENTAK SEMPURNA, TEWASKAN LAOS 4-0

  • Writer: Editor
    Editor
  • 4 days ago
  • 1 min read

Skuad Harimau Malaya meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup apabila membelasah Laos 4-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam Selasa.


Kemenangan kedua berturut-turut itu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam saingan kumpulan, dengan persembahan meyakinkan dipamerkan anak buah Tan Cheng Hoe sepanjang 90 minit perlawanan.


Harimau Malaya
Harimau Malaya

Malaysia turun dengan satu perubahan dalam kesebelasan utama apabila Jimmy Raymond diberi kepercayaan menggantikan Alif Ahmad yang beraksi ketika menentang Myanmar pada aksi pembukaan.



Sementara itu, Laos mempertaruhkan penyerang berbisa Soukphachan Lueanthala sebagai sandaran utama untuk mengemudi jentera serangan, namun gagal memberi impak berdepan benteng pertahanan tuan rumah.


Selepas beberapa peluang dicipta, Malaysia akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-45 menerusi Paulo Josué yang tenang menyempurnakan hantaran silang tepat daripada P. Gunalan untuk meletakkan skuad negara di hadapan sebelum rehat.



P. Gunalan terus menyerlah pada babak kedua apabila mencipta bantuan jaringan keduanya dalam perlawanan itu pada minit ke-57. Hantaran kemasnya berjaya disudahkan Endrick Dos Santos untuk menggandakan kelebihan Harimau Malaya.


Malaysia terus mengasak dan memperoleh gol ketiga pada minit ke-66 hasil jaringan sendiri pertahanan Laos, Viengxay Sydavong, yang tertampan hantaran silang Mohamadou Sumareh sebelum bola menerjah gawang pasukannya.


Wan Kuzain melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-84 menerusi sepakan percuma menarik dari sebelah kiri padang, sekali gus membuka akaun jaringan pertamanya bersama skuad kebangsaan.



Keputusan 4-0 itu memastikan Malaysia mengutip tiga mata berharga untuk meneruskan rekod kemenangan dalam Kumpulan B.


Harimau Malaya dijadual berdepan Thailand pada 1 Ogos dalam aksi yang dijangka menjadi penentu kedudukan kumpulan, manakala Laos akan meneruskan kempen menentang Filipina pada 4 Ogos.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page