BOJAN HODAK KEMBALI KE KOTA BHARU, UBATI RINDU PENYOKONG TRW
- Editor

- 19 minutes ago
- 2 min read

Kelibat bekas ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak dijangka kembali menghangatkan suasana bola sepak di Kota Bharu apabila diumumkan sebagai antara watak utama yang bakal memeriahkan aksi persahabatan Ex Kelantan menentang Ex Thailand, Jumaat ini.
Perlawanan anjuran Regles itu pastinya mencuri perhatian penyokong setia The Red Warriors (TRW) apabila beberapa nama besar yang pernah mencipta kegemilangan bersama Kelantan turut disahkan turun beraksi.
Antara legenda yang bakal mewarnai aksi itu ialah bekas kapten pasukan, Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya, selain Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhammad.
Kehadiran Hodak bersama beberapa pemain era kegemilangan treble 2012 dijangka mengembalikan nostalgia manis buat peminat bola sepak Kelantan yang pernah menyaksikan pasukan itu muncul kuasa besar bola sepak negara suatu ketika dahulu.
“Kami terbangkan khas lagenda (Bojan Hodak),” kata pihak Regles menerusi hantaran di Facebook, semalam.
“Jom datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan Ex Kelantan vs Ex Thailand, tiga hari sahaja lagi.
“Coach Bojan Hodak kata rindu mahu menyaksikan laungan lautan merah. Jom rapat pagar kali ni,” menurut hantaran tersebut.
Nama Hodak sememangnya cukup dekat di hati penyokong Kelantan selepas pengendali kelahiran Croatia itu berjaya membawa pasukan berkenaan meraih tiga trofi utama pada musim 2012 iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Kejayaan tersebut menjadikan Hodak antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah Kelantan selain membantu melonjakkan reputasi TRW sebagai antara pasukan paling digeruni di Malaysia ketika itu.
Selepas meninggalkan Kelantan, Hodak turut pernah membimbing beberapa pasukan dan skuad lain termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), skuad Malaysia B-19 dan Kuala Lumpur City FC sebelum meneruskan karier di Indonesia bersama Persib Bandung bermula musim 2022/2023.
Bagaimanapun, perjalanan Hodak bersama Persib Bandung berakhir baru-baru ini selepas beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan ketua jurulatih, namun masih kekal bersama kelab itu sebagai Penasihat Teknikal Kumpulan Pemegang Saham.

Aksi persahabatan di Kota Bharu itu dijangka menjadi medan istimewa buat penyokong untuk kembali mengimbau detik kegemilangan bola sepak Kelantan selain menyaksikan semula kelibat wira-wira lama yang pernah mencetuskan fenomena “lautan merah” di Stadium Sultan Muhammad IV.





Comments