top of page

HARIMAU MALAYA: BOIKOT UM GAGAL, LEBIH 10,000 PENYOKONG HADIR KE STADIUM

  • Writer: Editor
    Editor
  • 4 days ago
  • 1 min read

Di sebalik tindakan Ultras Malaya (UM) meneruskan kempen memboikot perlawanan Harimau Malaya, lebih 10,000 penyokong setia tetap membanjiri Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bagi memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan yang berdepan Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Piala ASEAN 2026, sebentar tadi.



Walaupun kehadiran penyokong dilihat tidak memenuhi kapasiti stadium dan suasana kurang bergema tanpa sorakan kumpulan penyokong tegar itu, mereka tetap memilih untuk hadir sebagai tanda solidariti terhadap barisan pemain negara.



Rata-rata penyokong berpendapat pemain tidak seharusnya menjadi mangsa kepada kemelut yang sedang melanda landskap bola sepak negara, sebaliknya wajar terus menerima sokongan ketika menggalas cabaran di pentas antarabangsa.


Harimau Malaya yang kini dibimbing ketua jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe, menerima sokongan daripada penyokong yang berharap kehadiran mereka mampu menyuntik semangat kepada pasukan untuk memburu kemenangan penting dalam saingan peringkat kumpulan.


Sebelum ini, Ultras Malaya mengesahkan mereka akan meneruskan kempen boikot terhadap semua perlawanan Harimau Malaya sehingga 31 Ogos ini sebagai sebahagian daripada Boikot Fasa 1 yang diumumkan sejak Mei lalu.



Keputusan itu menyebabkan dua aksi laman sendiri skuad kebangsaan dalam kempen Piala ASEAN 2026, termasuk menentang Laos dan Filipina, bakal berlangsung tanpa kehadiran kumpulan penyokong berkenaan.


Meskipun suasana di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur tidak semeriah kebiasaan, penyokong yang hadir tetap berharap sokongan mereka dapat membantu Harimau Malaya mencatat keputusan positif serta membangkitkan semangat pemain untuk terus berjuang demi lencana negara.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page