CHELSEA FC VS JOHOR DARUL TA’ZIM FC PERLAWANAN DIJADUALKAN SEMULA KE HARI AHAD, 9 OGOS 2026


SINGAPURA/MALAYSIA, 9 Jun 2026 – TEG Sport mengumumkan satu kemaskini penting
berhubung perlawanan bola sepak yang dinanti-nantikan antara gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC dan juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim FC (JDT).
Perlawanan yang pada asalnya dijadual berlangsung pada Selasa, 11 Ogos 2026 kini telah dijadualkan semula ke Ahad, 9 Ogos 2026. Waktu sepak mula pada jam 8.00 malam (MYT) serta lokasi perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang berkapasiti 34,000 penonton dan dilengkapi kemudahan bertaraf dunia kekal tidak berubah.
Keputusan untuk mempercepatkan tarikh perlawanan itu dibuat atas persetujuan bersama kedua-dua kelab. Chelsea FC dan JDT menyambut baik perubahan jadual tersebut kerana ia memberi lebih masa kepada kedua-dua pasukan untuk membuat persiapan menjelang musim baharu.
Bagi pemegang tiket sedia ada, semua tiket yang telah dibeli kekal sah untuk tarikh baharu perlawanan. Tiada sebarang pertukaran atau pengemaskinian tiket diperlukan. Penyokong hanya perlu membawa tiket masing-masing ke stadium pada Ahad, 9 Ogos bagi menyaksikan pertembungan bersejarah ini.
Bagi penyokong yang tidak dapat hadir pada tarikh baharu tersebut, bayaran balik penuh 100 peratus disediakan, merangkumi harga asal tiket serta yuran kemudahan sebanyak 3 peratus. Permohonan bayaran balik boleh dibuat dengan menghantar emel kepada sales@tickethotline.com.my berserta maklumat tempahan.
Semua permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2026 dan proses bayaran balik dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari bekerja.





Comments