FAM: KEMPEN FIFA WOMEN’S FOOTBALL 2026, PERKASA PENYERTAAN GADIS DALAM BOLA SEPAK


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini melancarkan FIFA Women’s Football Campaign 2026 menerusi program Sukan Untuk Gadis Remaja (SUGAR) sebagai usaha memperluaskan penyertaan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam sukan bola sepak.
Majlis pelancaran yang berlangsung di SMK Putrajaya Presint 8 (1) disempurnakan oleh Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM, Soleen Al-Zou’bi, bersama Ketua Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.

Program itu melibatkan 90 murid perempuan berusia 13 hingga 16 tahun serta 10 guru daripada sekolah-sekolah menengah di Putrajaya, sekali gus memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman bermain bola sepak dalam suasana yang menyeronokkan dan inklusif.
Kempen yang berlangsung dari Jun hingga Oktober 2026 itu akan diperluaskan ke 16 negeri, termasuk tiga Wilayah Persekutuan, dengan matlamat membuka lebih banyak peluang kepada gadis untuk mengenali dan menyertai sukan bola sepak tanpa mengira latar belakang.
Menurut FAM, inisiatif tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membantu membina keyakinan diri, semangat berpasukan, disiplin, kepimpinan dan kemahiran komunikasi dalam kalangan peserta.

Pada masa sama, kempen itu turut dijadikan platform mengenal pasti bakat-bakat muda untuk diserap ke program pembangunan akar umbi FAM, sekali gus memperkukuhkan laluan pembangunan pemain wanita negara menuju skuad Malayan Tigress di pentas antarabangsa.
FAM berharap kerjasama erat bersama KPM, sekolah dan komuniti mampu terus memperkukuhkan pembangunan bola sepak wanita serta melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu mengharumkan nama Malaysia pada masa depan.





Comments