top of page

HARIMAU MALAYA UMUM 26 PEMAIN HADAPI CABARAN ASEAN HYUNDAI CUP 2026

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jul 11
  • 1 min read

Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, hari ini mengumumkan senarai 26 pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan ASEAN Hyundai Cup 2026.


Senarai pemain tersebut diumumkan menerusi semua platform rasmi Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi saingan Kumpulan B yang akan membuka tirai hujung bulan ini.


Seperti dijangka, beberapa tonggak utama tidak tersenarai dalam skuad kali ini, antaranya Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Shahrul Saad, Nooa Laine, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid dan Dion Cools.



Bagaimanapun, Cheng Hoe masih mengekalkan beberapa pemain berpengalaman bagi memperkukuhkan pasukan, termasuk Paulo Josue, Azri Ghani, Endrick dos Santos, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan dan Syafiq Ahmad.


Dalam masa sama, beberapa pemain turut kembali menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan selepas tidak bersama pasukan sebelum ini. Mereka ialah penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim, pemain Melaka FC, V. Ruventhiran, serta Engku Nur Shakir Engku Yacob.


Turut mencuri perhatian ialah pemilihan dua pemain yang beraksi di luar negara, iaitu pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal, dan pemain Ross County, Richard Chin.


Sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, pengurusan Harimau Malaya turut menyenaraikan sembilan pemain dalam senarai bersedia yang akan dipanggil sekiranya berlaku kecederaan atau sebarang faktor lain melibatkan pemain utama. Senarai itu diketuai pemain baharu Terengganu FC, Danial Amier Norhisham.


Kesemua pemain dijadual melaporkan diri bagi menyertai kem latihan pusat bermula 15 Julai sebagai persiapan akhir menjelang kejohanan.


Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B dengan menentang Myanmar pada 25 Julai. Perlawanan itu juga bakal menyaksikan bekas jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen, mengendalikan Myanmar buat kali pertama dalam saingan ASEAN Hyundai Cup.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page