IMIGRESEN FC II, AAK UNISEL FC LENGKAPKAN SENARAI 14 PASUKAN LIGA A1 SEMI-PRO 2026/2027


Amateur Football League (AFL) mengesahkan penyertaan Imigresen FC II dan AAK UNISEL FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027 sekali gus melengkapkan senarai 14 pasukan yang akan beraksi dalam kejohanan itu.
AFL dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua pasukan tersebut sebelum ini berada dalam senarai menunggu dan dikehendaki memenuhi beberapa kriteria serta melengkapkan dokumentasi yang ditetapkan dalam tempoh diberikan.
Menurut kenyataan itu, selepas melalui proses penilaian dan semakan, Imigresen FC II serta AAK UNISEL FC berjaya memenuhi semua syarat yang ditetapkan sekali gus disahkan menyertai saingan musim baharu.
Sebelum ini, AFL mengumumkan 12 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi musim 2026/2027, manakala empat pasukan berada dalam senarai menunggu bagi merebut dua kekosongan terakhir.
Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 dijadual membuka tirai pada 28 Ogos ini dengan aksi pembukaan menemukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan USM FC di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.
AAK UNISEL FC, yang sebelum ini dikenali sebagai AAK Puncak Alam FC, melayakkan diri selepas muncul sebagai pasukan separuh akhir Liga A2 Amateur 2025, manakala Imigresen FC II memperoleh tempat berdasarkan kedudukan ke-10 dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim lalu.
Dengan pengesahan itu, saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027 kini lengkap dengan penyertaan 14 pasukan yang bakal bersaing merebut kejuaraan sepanjang musim.





Comments