top of page

JDT: CIPTA REKOD LUARBIASA, KINI MENYAMAI REKOD DUNIA

  • Writer: Editor
    Editor
  • 3 days ago
  • 2 min read

Kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim FC (JDT) terus membuktikan status mereka sebagai kuasa dominan bola sepak tempatan apabila secara rasmi menyamai rekod dunia 108 perlawanan liga tanpa kalah selepas membelasah Kelantan The Real Warriors FC 14-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.


Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menutup kempen Liga Super musim ini dengan penuh bergaya, malah meletakkan Harimau Selatan sebaris dengan kelab tersohor Ivory Coast, ASEC Mimosas yang sebelum ini memegang rekod dunia bagi jumlah perlawanan liga tanpa kalah terbanyak.


Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan Johor Southern Tigers (JST), pencapaian luar biasa itu dianggap satu lagi bukti kehebatan projek pembangunan bola sepak JDT yang kini semakin dihormati di peringkat antarabangsa.

Lebih mengagumkan, skuad kendalian Xisco Munoz itu masih belum merasai kekalahan dalam saingan Liga Super sejak April 2021 sekali gus memperlihatkan dominasi mutlak mereka dalam arena bola sepak domestik.


Sepanjang tempoh berkenaan, Harimau Selatan bukan sahaja berjaya mengekalkan konsistensi luar biasa, malah terus mempamerkan jurang kualiti besar berbanding pencabar lain dalam saingan liga tempatan.


Malah, kemenangan besar ke atas Kelantan TRW FC itu turut melengkapkan empat musim berturut-turut tanpa kalah buat JDT selain menjadi musim keenam keseluruhan mereka menamatkan kempen liga tanpa sebarang kekalahan selepas turut melakukannya pada musim 2016 dan 2020.


Apa yang lebih membanggakan, JDT kini hanya memerlukan satu lagi aksi liga tanpa kalah untuk muncul sebagai pemegang rekod dunia baharu sekali gus mengatasi pencapaian ASEC Mimosas.


Menurut kenyataan JST, peluang terbaik untuk Harimau Selatan mencipta sejarah baharu dunia dijangka hadir pada aksi pembukaan Liga Super musim 2026-27 yang dijadual berlangsung sekitar Ogos depan.


Sekiranya berjaya mengelakkan kekalahan dalam aksi tersebut, JDT bakal mengukir nama sebagai pasukan dengan rekod tanpa kalah paling panjang dalam sejarah bola sepak liga domestik dunia.


Dominasi luar biasa dipamerkan juara Liga Super itu juga memperlihatkan hasil revolusi besar dilakukan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak mengambil alih pengurusan pasukan lebih sedekad lalu.


Di bawah era moden Harimau Selatan, JDT berjaya mengubah landskap bola sepak negara menerusi pembangunan fasiliti bertaraf dunia, sistem pembangunan akar umbi lebih tersusun, pengurusan profesional serta barisan pemain berkualiti tinggi tempatan dan import.


Tidak keterlaluan untuk mengatakan JDT kini berada dalam kelas tersendiri apabila terus mendominasi saingan domestik saban musim selain muncul antara kelab paling digeruni di rantau Asia Tenggara.


Kemenangan 14-1 ke atas Kelantan TRW FC itu juga menjadi simbol ketajaman jentera serangan Harimau Selatan yang dilihat langsung tidak memberi ruang kepada lawan sepanjang 90 minit permainan.


Dengan deretan trofi dan rekod terus dilakar musim demi musim, Harimau Selatan kini semakin hampir meletakkan nama mereka dalam lipatan sejarah bola sepak dunia sekali gus mengangkat martabat bola sepak Malaysia ke pentas lebih tinggi.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page