LIGA SUPER: JDT BERPESTA GOL, TUTUP MUSIM 2025/26 PENUH GAYA
- Editor

- 2 days ago
- 2 min read

Johor Darul Ta'zim FC menutup kempen Liga Super 2025/2026 dengan penuh bergaya apabila membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 dalam aksi terakhir di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus melakar kemenangan terbesar musim ini.
Skuad kendalian Xisco Munoz jelas berada di kelas tersendiri apabila mendominasi permainan sejak wisel permulaan dengan gandingan berbisa Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Yago César mengetuai jentera serangan Harimau Selatan.

JDT hanya memerlukan 47 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan deras Bergson da Silva hasil hantaran silang Jonathan Silva.
Penyerang sensasi itu terus mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua pada minit ke-11 menerusi rembatan jarak jauh sebelum Manuel Hidalgo menambah jaringan ketiga tidak lama kemudian hasil penyudah tenang di depan gawang pelawat.
Pesta gol Harimau Selatan diteruskan menerusi tandukan Antonio Glauder pada minit ke-18 sebelum Hidalgo sekali lagi menemui sasaran untuk gol kelima pasukan.
Bergson kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-35 sebelum Jese Wilkin menjadikan kedudukan 7-0 hasil gerakan menarik yang dimulakan Corbin Ong.
Penyerang import JDT itu terus menggila apabila meledak gol keempat peribadinya pada minit ke-41 selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan, sekali gus memastikan tuan rumah selesa mendahului 8-0 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, JDT tidak memperlahankan rentak apabila Yago César menanduk masuk gol kesembilan pada minit ke-51 hasil hantaran Hidalgo.
Dua minit kemudian, Bergson sekali lagi mencetak nama selaku penjaring untuk gol kelima peribadinya sebelum Hidalgo menambah jaringan ke-11 Harimau Selatan pada minit ke-61.
Kelantan TRW bagaimanapun berjaya memperoleh gol saguhati menerusi tandukan Faris Izdiham hasil sepakan penjuru pada minit ke-64.
Namun jaringan itu gagal mengubah momentum permainan apabila JDT terus berpesta gol menerusi Bergson yang melengkapkan enam gol peribadi pada minit ke-83 sebelum pemain gantian Syamer Kutty Abba dan Teto turut meledak gol pada penghujung permainan.
Keputusan 14-1 itu bukan sahaja menutup musim dengan penuh bergaya buat JDT, malah mengesahkan kemenangan terbesar dalam saingan Liga Super musim 2025/2026.





Comments