top of page

JDT DIKAITKAN DENGAN DEJAN PETROVIC, KONTRAK EMPAT TAHUN JADI PERHATIAN

  • Writer: Saluddin Ismail
    Saluddin Ismail
  • Jun 30
  • 2 min read

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencuri tumpuan menjelang musim baharu apabila juara Liga Super itu dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat pemain tengah kebangsaan Slovenia, Dejan Petrovic, menerusi kontrak selama empat tahun.


Menurut laporan media Croatia, Germanijak, pemain berusia 28 tahun itu dikatakan sudah membuat keputusan untuk menyertai skuad Harimau Selatan meskipun menerima minat daripada beberapa kelab Eropah.


Perkembangan itu hadir ketika JDT dilihat terus memperkukuhkan skuad selepas melalui satu lagi musim cemerlang di peringkat domestik dan antarabangsa.


Tempoh pendaftaran pemain pertama Liga Malaysia yang dibuka bermula 12 Jun hingga 3 September 2026 juga dilihat membuka ruang kepada pengurusan JDT untuk melengkapkan perancangan pasukan lebih awal.



Laporan Germanijak menyebut Petrovic memilih untuk menolak peluang menyertai Hadjuk Split dan kelab dari negaranya, Maribor, sebaliknya memilih cabaran baharu di Asia bersama kelab paling berjaya di Malaysia.


“Walaupun pelbagai spekulasi timbul mengenai masa depan Dejan Petrovič sejak beberapa hari lalu, kami difahamkan beliau sudah menandatangani kontrak selama empat tahun bersama JDT,” menurut laporan media tersebut.


Semakan rekod mendapati kontrak Petrovic bersama kelab Croatia, HNK Rijeka, berakhir pada 30 Jun 2026 sekali gus membolehkan beliau menentukan haluan baharu secara perpindahan bebas.


Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, ia bakal menambah lagi kualiti di bahagian tengah skuad kendalian Harimau Selatan yang terus meletakkan sasaran tinggi untuk musim 2026–2027.


Sepanjang musim lalu, Petrovic merekodkan 32 penampilan bersama HNK Rijeka dengan sumbangan satu gol dan dua bantuan jaringan ketika membantu pasukan menamatkan saingan Liga Croatia di kelompok atas.


Di pentas antarabangsa, pemain tengah itu sudah mengumpul 13 penampilan bersama Slovenia dan kali terakhir beraksi ketika kempen Kelayakan Piala Dunia zon Eropah pada November lalu.


Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan JDT berhubung laporan perpindahan berkenaan ketika pasukan dijangka kembali memulakan latihan dalam masa terdekat.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page