JDT LANCAR JDT+, PLATFORM PREMIUM KHAS UNTUK PENYOKONG HARIMAU SELATAN


Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan JDT+, platform kandungan premium berasaskan langganan yang memberi peluang kepada penyokong menyelami lebih dekat kehidupan, perjalanan dan aktiviti Harimau Selatan di sebalik tabir.
Menurut hantaran Johor Southern Tigers, kandungan premium sulung platform itu ialah Untamed, sebuah dokumentari berdurasi 76 minit yang akan ditayangkan secara eksklusif menerusi JDT+ pada 22 Oktober 2026.
Platform berkenaan turut dijangka menampilkan pelbagai kandungan eksklusif lain dari semasa ke semasa, termasuk Outbound, siri dokumentari tahunan yang mengikuti perjalanan JDT dalam saingan AFC Champions League Elite.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pelancaran JDT+ menjadi satu lagi langkah penting dalam evolusi Harimau Selatan sebagai sebuah kelab bola sepak dan organisasi sukan moden.
Katanya, platform itu memberi peluang kepada penyokong untuk melihat dengan lebih dekat kehidupan harian pemain, persiapan pasukan, operasi di belakang tabir serta individu yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan kelab.
“JDT+ adalah sebahagian daripada visi itu. Ia mendekatkan penyokong kepada kelab dan membolehkan kami menceritakan kisah JDT dengan lebih mendalam dan autentik. Dan ini baru permulaan,” katanya.
Menurut Garcia, inovasi sentiasa menjadi antara asas visi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam membangunkan JDT, bukan sahaja untuk mencapai kejayaan di atas padang, malah memastikan kelab terus berkembang serta menetapkan standard baharu.
Dengan pelancaran JDT+, penyokong kini mempunyai akses kepada kandungan eksklusif yang mengetengahkan sisi berbeza JDT, termasuk kisah dan perjalanan pasukan yang jarang dipaparkan kepada umum.





Comments