JDT: STADIUM SULTAN IBRAHIM TERIMA PENGIKTIRAFAN PELANCONGAN BERTARAF PLATINUM
- Editor

- Aug 22
- 2 min read

ISKANDAR PUTERI: Stadium Sultan Ibrahim, gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), terus membuktikan statusnya sebagai mercu tanda bola sepak moden negara apabila menerima Sijil dan Plak Anugerah Platinum di bawah Program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA).

Pengiktirafan itu disampaikan sendiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing kepada JDT, sekali gus mengiktiraf stadium berkapasiti lebih 40,000 penonton itu sebagai antara produk pelancongan bertaraf dunia di Malaysia.
Mewakili Harimau Selatan, Ketua Pengarah Operasi merangkap Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards tampil menerima sijil serta plak berkenaan dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos lalu.
Anugerah berprestij itu membuktikan Stadium Sultan Ibrahim bukan sekadar gelanggang bola sepak, malah menjadi destinasi pelancongan sukan yang berupaya menarik peminat dari dalam dan luar negara.

Sejak dirasmikan pada 2020, stadium ikonik ini menjadi tumpuan pelancong kerana reka bentuk moden, kemudahan bertaraf antarabangsa serta pengalaman unik yang ditawarkan kepada penyokong bola sepak.
Selain menjadi ‘rumah’ kepada juara Liga Super, stadium ini juga pernah menjadi lokasi bagi pelbagai acara bertaraf antarabangsa, sekali gus mengangkat Johor sebagai destinasi pilihan pelancongan sukan dan hiburan.
Edwards ketika ditemui menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti usaha berterusan JDT dan kepimpinan kelab dalam memastikan fasiliti yang dibangunkan memberi impak besar bukan sahaja kepada bola sepak, tetapi juga kepada ekonomi pelancongan negeri Johor.
“Stadium Sultan Ibrahim adalah lambang visi besar DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam membawa perubahan kepada landskap bola sepak Malaysia. Hari ini, pengiktirafan ini membuktikan stadium ini juga mampu menyumbang kepada industri pelancongan negara,” katanya.
Sementara itu, pengiktirafan platinum MyTQA ini meletakkan Stadium Sultan Ibrahim sebaris dengan produk pelancongan berkualiti tinggi lain di Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi imej JDT sebagai kelab bola sepak yang bukan sahaja dominan di pentas sukan, malah menjadi ikon pelancongan negara.










Comments