JDT : TETO MARTIN MULA RINDU KAMPUNG HALAMAN
- Editor

- Jun 30
- 1 min read

Spekulasi mengenai masa depan penyerang import kelahiran Sepanyol, Teto Martin, semakin hangat diperkatakan apabila beliau dikatakan berpotensi meninggalkan Johor Darul Ta'zim menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/27.
Perkembangan itu semakin mendapat perhatian apabila laman statistik bola sepak, Transfermarkt, menunjukkan kontrak pemain berusia 24 tahun itu bersama skuad Harimau Selatan telah berakhir pada bulan lalu.
Khabar angin yang tersebar di platform X pula mendakwa Teto Martin berkemungkinan akan kembali ke negara kelahirannya untuk menyertai kelab Sepanyol, CD Tenerife.
Menurut perkongsian oleh pemegang akaun Juanma Lopez, pemain tersebut dikatakan merindui kampung halamannya dan berpotensi mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong di Stadium Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak kelab mahupun pemain sendiri berhubung masa depannya.
Sepanjang beraksi di bawah kendalian jurulatih Xisco Munoz, Teto Martin merekodkan 29 penampilan dan menjaringkan 13 gol dalam musim pertamanya bersama JDT.
Bersama Harimau Selatan, beliau turut membantu pasukan memenangi empat trofi domestik termasuk Piala Malaysia selain mengekalkan dominasi kelab dengan kejuaraan Liga Super buat musim ke-12 berturut-turut.
Dalam perkembangan lain, laporan daripada media sebelum ini turut mendedahkan bahawa seorang lagi pemain import, Jairo Da Silva, dikatakan masih belum menandatangani kontrak baharu bersama JDT.
Sebelum itu, Heberty Fernandes telah disahkan meninggalkan JDT selepas tidak melanjutkan kontraknya bersama kelab tersebut.





Comments