JOHOR BAKAL JADI PENTAS POLO DUNIA MENERUSI JSCPT 2026


Kelab Polo Diraja Johor bakal mencipta sejarah apabila menganjurkan Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026, kejohanan polo antarabangsa berstatus handicap 22 gol yang menghimpunkan lima pasukan bertaraf dunia dari 1 hingga 6 September ini.
Lima pasukan yang akan bertanding dalam Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 ialah Royal Johor, Temasek, JCORP, Korea Polo dan Digital Bridge. Ia merupakan kejohanan antarabangsa dan merupakan kejohanan dengan handicap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia.
Berlangsung di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi, kejohanan berprestij itu dijangka menjadi pertandingan polo bertaraf tertinggi dan terbesar pernah dianjurkan di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perkembangan sukan berkenaan di negara ini.
Penganjuran JSCPT 2026 merupakan cetusan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang menerusi visi bersama ikon polo dunia, Polito Pieres, mahu menjadikan Johor sebagai antara destinasi utama dalam kalendar polo antarabangsa.

Kejohanan itu bakal menyaksikan penyertaan pemain-pemain bertaraf dunia, termasuk beberapa bintang yang pernah menjulang kejuaraan Terbuka Argentina, antara pertandingan paling berprestij dalam sukan polo global.
Dengan status handicap 22 gol, JSCPT 2026 bukan sahaja menawarkan saingan berintensiti tinggi, malah menjadi medan pertembungan antara pemain elit antarabangsa dalam usaha merebut kejuaraan di pentas polo Johor.
Menariknya, Johor turut menyediakan keseluruhan kuda sebanyak 190 ekor yang akan digunakan oleh setiap pasukan sepanjang kejohanan bagi memastikan aspek kebajikan, keseragaman dan keperluan pertandingan berada pada tahap terbaik.
Mengangkat tema “Legacy In Motion”, penganjuran JSCPT 2026 turut membawa mesej lebih besar dalam memperkenalkan warisan Diraja Johor menerusi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
Selain memperkukuh kedudukan Johor dalam peta polo dunia, kejohanan itu dijangka menjadi platform penting dalam mempromosikan negeri berkenaan sebagai destinasi pelancongan sukan berkelas dunia.
JSCPT 2026 sekali gus bukan sekadar sebuah kejohanan polo, sebaliknya menjadi manifestasi usaha membawa tradisi dan warisan sukan berkuda Johor ke pentas antarabangsa, di samping membuka peluang untuk negeri itu terus dikenali sebagai salah satu destinasi polo berprestij di rantau ini.





Comments