top of page

ROYAL JOHOR JULANG TROFI JOHOR SUPER CROWN 2026, TEWASKAN TAMASEK 10-7

Writer: Editor
Editor
Sep 6
2 min read

Enam jaringan DYAM Tunku Mahkota Ismail membantu Royal Johor menewaskan Temasek 10-7 pada aksi final Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 di Royal Johor Polo Club (RJPC), Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.



Kemenangan itu menyaksikan Royal Johor dinobatkan sebagai juara kejohanan polo berstatus 22 gol tersebut selepas melalui kempen cemerlang sepanjang saingan.


Meskipun masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan tangan, keadaan itu tidak menghalang DYAM Tunku Mahkota Ismail daripada mempamerkan aksi bertenaga dan menjadi antara watak penting dalam kejayaan Royal Johor.



Prestasi cemerlang Baginda turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Perlawanan Akhir, manakala kuda tunggangan Baginda, Poliya Cara Palida, turut menerima anugerah The Best Playing Pony yang diumumkan oleh Pablo ‘Polito’ Pieres.



Royal Johor bermula garang apabila Pablo Pieres meledak dua gol dalam dua chukka pertama sebelum DYAM Tunku Mahkota Ismail dan Juan Martin Nero masing-masing menambah satu jaringan untuk meletakkan pasukan itu selesa mendahului 4-0.


Temasek bagaimanapun tidak mudah mengalah apabila Ignatius ‘Nachi’ du Plessis membuka akaun jaringan pasukannya, sebelum Polito melengkapkan hatrik pada chukka ketiga untuk membantu Royal Johor mengekalkan kelebihan 5-2.


Memasuki chukka keempat dan kelima, DYAM Tunku Mahkota Ismail mengambil alih pentas apabila meledak tiga gol untuk Royal Johor.


Temasek pula terus memberikan tentangan menerusi jaringan Nachi dan Colonel Ravi Rathore, sekali gus mengurangkan jurang kepada 8-5.


Nachi kemudian sekali lagi mencipta jaringan pada chukka keenam bagi menjadikan kedudukan 8-6 dan memberi tekanan kepada Royal Johor.


Bagaimanapun, ketenangan serta disiplin permainan Royal Johor membolehkan pasukan itu kembali mengawal rentak perlawanan.


DYAM Tunku Mahkota Ismail kemudiannya menambah dua lagi gol bagi memastikan Royal Johor mendahului 10-6 dan berada di ambang kejuaraan.


Temasek terus berusaha mengejar pada penghujung perlawanan dan Alfonso ‘Alfon’ Pieres berjaya menghasilkan gol ketujuh pasukannya.


Namun, jaringan tersebut tidak mampu mengubah keputusan apabila Royal Johor mengekalkan kelebihan 10-7 sehingga wisel penamat dibunyikan.


Kejayaan berkenaan melengkapkan kempen gemilang Royal Johor dalam JSCPT 2026, sekali gus mengesahkan kejuaraan bagi saingan polo berhandikap 22 gol, antara kejohanan berprofil tinggi yang dianjurkan di Malaysia.


Penganjuran JSCPT 2026 turut menampilkan barisan pemain bertaraf antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai salah satu hab penting sukan polo di rantau ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page