top of page

TROFI JOHOR SUPER CROWN POLO SARAT NILAI WARISAN DAN SIMBOL KERAJAAN JOHOR

Writer: Editor
Editor
Aug 29
2 min read

Trofi Johor Super Crown Polo tampil sebagai karya eksklusif yang menggabungkan unsur warisan Diraja Johor, ketukangan seni halus dan identiti sukan polo, khusus untuk kejohanan Johor Super Crown Polo Tournament.


Trofi berkenaan ditempah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, manakala reka bentuknya dicetuskan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.


Diperbuat daripada perak tulen 925, trofi berkenaan disalut dengan emas 24 karat dan rhodium, sekali gus menyerlahkan kemasan mewah serta eksklusif sebagai trofi utama kejohanan.


Dihasilkan oleh Royal Insignia, reka bentuk badan piala diinspirasikan daripada motif batu bata Istana Pasir Pelangi, iaitu istana tempat Kelab Polo Diraja Johor menganjurkan kejohanan Diraja berkenaan dan yang menjadi kediaman rasmi KDYMM Sultan Ibrahim, selain berfungsi sebagai lokasi sukan.



Pada bahagian tengah piala tertera lambang Johor Super Crown Polo, diapit sepasang kayu pemukul polo bersilang dan dihiasi garland yang menggunakan elemen gambir serta lada, iaitu tanaman yang mempunyai kaitan dengan warisan Diraja Johor.


Motif gesper kekang kuda dan ladam kuda turut ditempatkan pada bahagian dasar serta bingkai plak sebagai simbol yang menghubungkan reka bentuk trofi dengan sukan polo.


Bahagian bawah piala pula menampilkan bentuk beralur dengan ukiran daun gambir dan buah lada.


Lebih menarik, segmen lapis lazuli pada kubah dan bahagian bawah trofi dibentuk menggunakan peralatan pengisaran berketepatan tinggi bagi menyerlahkan warna biru Diraja serta urat emas semula jadi batu berkenaan.


Mahkota KDYMM Sultan Ibrahim pada bahagian paling atas trofi pula dihiasi dengan batu permata seperti tsavorite, peridot, garnet dan nilam.



Panel enamel biru pada bahagian mahkota dan leher piala pula disapu secara manual dalam lapisan halus sebelum dibakar bagi menghasilkan kemasan licin menyerupai kaca.


Trofi itu turut dilengkapi plak perak yang dipasang secara berasingan pada bahagian dasar, yang dikhususkan untuk diukir nama pemenang kejohanan.



Trofi Johor Super Crown Polo itu mempunyai ketinggian kira-kira 750 milimeter, dengan tarikh pembuatannya direkodkan pada Ogos 2026 serta nombor siri 01.


Keseluruhan reka bentuk trofi berkenaan bukan sekadar menampilkan kemewahan, malah mengangkat elemen sejarah, tanaman warisan, simbol Diraja dan identiti polo Johor dalam sebuah karya seni yang bakal menjadi rebutan pasukan terbaik pada kejohanan berkenaan.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page