KELAYAKAN PIALA ASIA: HARIMAU MALAYA PERIT BERTARUNG TANPA PEMAIN WARISAN
- Editor

- Oct 10, 2025
- 1 min read

Harimau Malaya terus mengaum garang dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 apabila berjaya menewaskan Laos 3-0 di Stadium Nasional, Vientiane., sebentar tadi.
Dalam aksi ketiga Kumpulan F itu, skuad kendalian Peter Clamovski tidak berdepan jalan mudah apabila beraksi dalam suasana serba kekurangan, termasuk berdepan tekanan luar padang susulan isu hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap beberapa pemain warisan.
Lebih menguji kesabaran penyokong di tanah air, mutu siaran langsung perlawanan turut menimbulkan rasa tidak puas hati apabila kualitinya jauh daripada standard antarabangsa — kabur umpama rakaman “kamera Nokia sabun” dan terputus-putus seperti menonton TV era 80-an.

Namun, segala cabaran itu tidak mematahkan semangat skuad negara yang tampil lebih berdisiplin dan bertenaga.

Arif Aiman Hanapi akhirnya memecah kebuntuan apabila rembatan leretnya pada minit ke-54 berjaya menewaskan penjaga gol Laos, Kop Lokphathi sebelum kapten pasukan, Dion Cools, menggandakan kelebihan menerusi tandukan tepat pada minit ke-68.

Pemain sayap lincah, Faisal Halim, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, memastikan kemenangan mutlak Harimau Malaya apabila meledak gol ketiga pada masa kecederaan, sekali gus menutup malam gemilang buat negara.
Kemenangan ini mengekalkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan F dengan kutipan sembilan mata maksimum hasil tiga kemenangan berturut-turut, meletakkan mereka selangkah lagi untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.
Harimau Malaya yang kini berada di ranking ke-123 dunia akan sekali lagi berdepan Laos dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini, dengan misi mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.










Comments