top of page

'LIGA BOLA SEPAK RAKYAT PAHANG 1ST' JADI PLATFORM SATUKAN KOMUNITI

  • Writer: Editor
    Editor
  • 3 hours ago
  • 2 min read

PAHANG bakal menyaksikan penganjuran sebuah kejohanan bola sepak akar umbi berskala besar menerusi Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 yang dijangka menjadi medan mencungkil bakat baharu serta memperkukuh perpaduan masyarakat. Pelancaran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 telah di rasmikan oleh Menteri besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail di Stadium Darul Makmur, Kuantan.



Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st ini akan bermula pada 6 Jun 2026 dan akan berakhir pada 29 Ogos 2026.


Kejohanan yang membawa jenama “Pahang 1st” itu bukan sekadar pertandingan bola sepak biasa, malah dilihat sebagai gerakan menyatukan rakyat, memupuk gaya hidup sihat dan mengangkat pembangunan sukan negeri ke tahap lebih tinggi.


Melalui inisiatif berkenaan, penganjur menyasarkan kejohanan itu menjadi acara tahunan berprestij yang mampu meletakkan Pahang sebagai antara negeri paling progresif dalam pembangunan bola sepak rakyat di negara ini.


Saingan itu bakal melibatkan penyertaan besar-besaran di seluruh negeri dengan setiap 14 kawasan Parlimen dijangka menghantar antara lapan hingga 24 pasukan untuk bersaing di peringkat awal.


Secara keseluruhan, sebanyak 112 pasukan dan lebih 2,800 pemain akan berentap bagi merebut peluang bergelar juara Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah di peringkat negeri.


Bagi menambah lagi kemeriahan saingan, pihak penganjur menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM300,000 sekali gus menjadikan kejohanan itu antara liga bola sepak peringkat negeri paling lumayan dan berprestij di Malaysia.


Untuk peringkat Parlimen, juara bakal membawa pulang wang tunai RM4,000, manakala naib juara menerima RM2,000.


Pasukan yang menduduki tempat ketiga dan keempat pula masing-masing akan menerima hadiah RM700 dan RM500.


Sementara itu, hadiah lebih besar menanti pasukan yang berjaya melangkah ke peringkat negeri apabila juara akan menerima RM40,000, manakala naib juara membawa pulang RM20,000.


Tempat ketiga pula menawarkan hadiah RM7,000 dan tempat keempat RM5,000.

Dalam memastikan komitmen semua pasukan serta kelancaran perjalanan liga, setiap pasukan yang mengambil bahagian dikenakan yuran penyertaan minimum bersama deposit disiplin sebanyak RM500.


Bagaimanapun, deposit berkenaan akan dipulangkan semula kepada pasukan selepas kejohanan tamat.


Penganjuran kejohanan itu dilihat mampu membuka ruang lebih luas kepada pemain akar umbi di seluruh Pahang untuk mengetengahkan bakat masing-masing selain memperkukuh hubungan komuniti melalui sukan bola sepak.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page