top of page

LIGA SUPER: DISIPLIN, KOMITMEN TINGGI RESIPI KEJAYAAN SELANGOR BENAM TERENGGANU 3-0

Writer: Editor
Editor
Aug 29
2 min read


Disiplin tinggi, komitmen melebihi 100 peratus serta keupayaan memanfaatkan peluang menjadi antara faktor utama kejayaan Selangor FC menundukkan Terengganu FC (TFC) 3-0 dalam aksi kedua Liga Super 2026/2027 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.


Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerja keras seluruh pasukan yang berjaya mengekalkan ketenangan serta disiplin ketika berdepan tekanan hebat daripada tuan rumah.


Menurutnya, pemain Selangor bukan sahaja berkesan ketika melakukan serangan, malah menunjukkan ketahanan tinggi dalam bertahan sehingga berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari gelanggang lawan.


“Apa yang pemain berikan sebenarnya lebih daripada apa yang saya minta. Mereka menampilkan aksi yang sangat baik sehingga berjaya menjaringkan tiga gol di tempat lawan.


“Saya begitu bangga dengan corak permainan yang diperagakan semua pemain kerana perlawanan ini sangat sukar, termasuk dari segi keadaan dan suasana perlawanan,” katanya.


Selangor, yang tampil sebagai pemenang pada aksi pembukaan liga, bagaimanapun hanya mampu memecahkan kebuntuan selepas rehat apabila Kay Sheku Tejan membuka jaringan pada minit ke-58.


Chrigor Moraes kemudian menggandakan kelebihan empat minit berselang sebelum penyerang kelahiran Brazil itu melengkapkan jaringan berganda pada masa kecederaan bagi memastikan kemenangan bergaya 3-0 buat skuad Gergasi Merah.


Kemenangan itu menyaksikan Selangor mencatat dua kemenangan berturut-turut pada permulaan musim dan mengumpul enam mata untuk menduduki tangga kedua Liga Super, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) berdasarkan perbezaan jaringan.


Kim Pan-gon turut mengakui beliau lega apabila anak buahnya berjaya mengharungi tekanan beraksi di hadapan lebih 11,000 penyokong tuan rumah, terutama selepas kedua-dua pasukan hadir dengan keyakinan tinggi susulan kemenangan dalam perlawanan pertama.


Dalam pada itu, perlawanan berkenaan turut menyaksikan penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, mengalami kecederaan selepas bertembung dengan penyerang TFC, Romel Morales.


Izhan kemudiannya dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta akan terus dipantau oleh pasukan perubatan.


Bagi TFC pula, kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain gagal meneruskan momentum kemenangan selepas memulakan kempen dengan tiga mata.


Nafuzi mengakui kesilapan serta kehilangan fokus pada babak kedua menjadi antara punca utama pasukannya dihukum Selangor, namun tetap memuji kesungguhan pemain yang terus berjuang hingga wisel penamat.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page