LIGA SUPER: JURANG KUALITI DAN PENGALAMAN PUNCA KRW TEWAS BESAR KEPADA JDT


Kekurangan dari segi kualiti dan pengalaman pemain menjadi antara faktor utama Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) tewas besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT FC) dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Ketua jurulatih KRW FC, Irfan Bakti mengakui jurang antara kedua-dua pasukan amat ketara, terutama dari segi kedalaman skuad yang dimiliki selepas pasukannya kini hanya mempunyai 18 pemain untuk diturunkan.

Menurut beliau, situasi itu bertambah sukar apabila dua lagi pemain utama mengalami kecederaan, sekali gus mengehadkan pilihan untuk melakukan perubahan ketika berdepan juara bertahan berkenaan.
“Ketika ini kami hanya mempunyai 18 pemain dan dua lagi mengalami kecederaan. Jadi, dari segi kualiti serta jumlah pemain, memang terdapat perbezaan yang ketara dengan JDT.
“Kami cuba memberikan saingan, tetapi jurang tersebut akhirnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh JDT,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas perlawanan.
Irfan berkata, faktor pengalaman turut memainkan peranan penting apabila sebahagian besar pemainnya masih muda dan belum mempunyai pengalaman mencukupi untuk beraksi secara konsisten di pentas Liga Super.
Katanya, hanya Latif dan Faiz Nasir dalam kalangan pemainnya yang pernah merasai pengalaman beraksi di pentas tertinggi kira-kira tiga tahun lalu.
“Ramai pemain kami masih muda. Mereka belum mencapai tahap pengalaman yang diperlukan untuk bermain di Liga Super, apatah lagi berdepan pasukan seperti JDT yang mempunyai pemain berkualiti dan berpengalaman.
“Namun, saya tidak boleh salahkan pemain kerana mereka sudah memberikan komitmen dan cuba menyaingi kekuatan JDT sepanjang perlawanan,” katanya.
Irfan bagaimanapun menegaskan kekalahan besar itu perlu dijadikan pengalaman berharga buat skuad KRW FC untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan tahap permainan bagi menghadapi saingan seterusnya.

“Kami perlu belajar daripada perlawanan ini. Jurang itu memang besar, tetapi pemain sudah memberikan yang terbaik. Sekarang kami perlu bangkit dan memperbaiki apa yang kurang,” katanya.





Comments