LIGA SUPER: KELANTAN RED WARRIOR SAH GANTI PDRM, LENGKAPKAN SAINGAN 12 PASUKAN
- Editor

- Jul 16
- 1 min read

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan Kelantan Red Warrior FC akan beraksi dalam saingan Liga Super 2026-2027 selepas PDRM FC membuat keputusan menarik diri daripada pertandingan yang dijadual bermula Ogos ini.
Dalam satu kenyataan, MFL memaklumkan PDRM FC telah mengemukakan surat rasmi penarikan diri kepada badan pengelola liga itu semalam, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada proses penstrukturan semula pengurusan kelab.
Sehubungan itu, MFL memutuskan untuk menawarkan tempat berkenaan kepada Kelantan Red Warrior FC, yang sebelum ini telah melengkapkan semua keperluan dokumentasi, termasuk memenuhi kriteria kewangan bagi melayakkan diri untuk dipromosikan ke Liga Super.
Kelantan Red Warrior FC, yang menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim lalu di tangga keempat, dipilih selepas dinilai lebih bersedia berbanding dua lagi pemohon, iaitu UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC, yang masing-masing menamatkan saingan di kedudukan keenam dan ke-12 Liga A1.
Kedua-dua kelab itu sebelum ini turut mengemukakan permohonan selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa yang dikeluarkan oleh First Instance Body (FIB).
Sementara itu, Armed Forces FC yang turut beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai saingan Liga Super musim 2026-2027.
Penyertaan Kelantan Red Warrior FC sekali gus melengkapkan senarai 12 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super 2026-2027, sekali gus memastikan format pertandingan kekal seperti yang dirancang bagi musim baharu.





Comments