LIGA SUPER: KUCHING CITY BANTAI KL CITY 6-0, ETAME LEDAK EMPAT GOL


Kuching City FC meraih tiga mata pertama dalam saingan Liga Super 2026/2027 selepas membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City) 6-0 pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Penyerang The Cats, Jerome Mpacko Etame, muncul wira pasukan apabila meledak empat gol, manakala Ajdin Mujagic turut mencetak dua jaringan untuk melengkapkan kemenangan besar pasukan dari Sarawak itu.
Kemenangan berkenaan turut menyaksikan Kuching City bangkit selepas tewas dalam aksi pembukaan musim, selain mempamerkan dominasi jelas ke atas KL City yang berdepan situasi sukar sebelum dan ketika perlawanan.
Kedudukan KL City menjadi perhatian apabila skuad Ibu Kota hanya mampu menyenaraikan 10 pemain untuk kesebelasan utama serta seorang pemain di bangku simpanan.

Situasi itu dipercayai berpunca daripada masalah kewangan yang melanda kelab, selain beberapa pemain terkesan akibat wabak influenza.
Bagaimanapun, KL City masih mempertaruhkan pemain berpengalaman, Paulo Josue, dengan harapan sentuhan pemain yang sinonim dengan gelaran 'Mister Kuala Lumpur' itu mampu mencetuskan kejutan.
Kuching City pula tampil dengan barisan lebih lengkap dan terus mengambil kesempatan terhadap kekurangan lawan apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga.
Mujagic, yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT), menanduk masuk bola bagi memberikan kelebihan awal buat The Cats.
Kuching City kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-25 menerusi Etame yang tenang menanduk masuk hantaran James Okuwosa hasil sepakan sudut.
Namun, The Cats turut kehilangan seorang pemain sebelum tamat separuh masa pertama apabila Okuwosa dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan lewat terhadap pemain KL City.
Keadaan itu menyaksikan kedua-dua pasukan meneruskan permainan dengan 10 pemain pada separuh masa kedua.
Kuching City bagaimanapun tidak terjejas dan terus mengganas sebaik babak kedua bermula apabila Etame meledak gol ketiga pada minit ke-47 menerusi tandukan hasil hantaran lintang Arif Farhan.
Etame kemudian melengkapkan hatrik lima minit berselang apabila menyambar bola muntah selepas percubaan Wenzell-Halls terkena tiang untuk menghasilkan gol keempat Kuching City.
The Cats semakin selesa pada minit ke-55 apabila Mujagic menyempurnakan hantaran Wenzell-Halls dari dalam kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 5-0.
Kuching City kemudian melakukan beberapa pertukaran pemain bagi mengekalkan momentum, termasuk memasukkan Ramadan Saifullah.
KL City pula tidak mempunyai ruang untuk melakukan perubahan taktikal yang sama berikutan hanya mempunyai seorang pemain simpanan.
Etame akhirnya melengkapkan malam gemilangnya apabila meledak gol keempat peribadi bagi menjadikan kedudukan 6-0, sekali gus memastikan Kuching City membawa pulang kemenangan bergaya dari Cheras.
Keputusan itu memberikan Kuching City tiga mata pertama musim ini, manakala KL City terpaksa menerima kekalahan besar dalam perlawanan rasmi pertama mereka selepas aksi terdahulu menyaksikan tiga mata dilucutkan.
Dalam aksi seterusnya pada 29 Ogos, KL City dijadualkan berdepan Brunei DPMM, manakala Kuching City akan menentang Kelantan Red Warriors (KRW).





Comments