top of page

LIGA SUPER: SABAH FC SASAR KEMENANGAN KEDUA, JUAN TORRES MAHU KEKALKAN MOMENTUM POSITIF

Writer: Editor
Editor
Aug 27
2 min read

Sabah FC mengintai kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super 2026–2027 apabila dijadual menerima kunjungan Penang FC di Stadium Likas, Jumaat ini.


Kemenangan 3–1 ke atas Star City FC pada aksi pembukaan musim menyuntik keyakinan buat skuad kendalian Juan Torres Garrido, namun pengendali dari Sepanyol itu enggan anak buahnya terlalu selesa dengan permulaan positif berkenaan.


Torres sebaliknya mahu Sabah mengekalkan intensiti, disiplin dan keberanian ketika berdepan Penang yang disifatkannya sebagai pasukan lebih tersusun serta mampu menghadirkan ancaman menerusi situasi bola mati.


“Kami berpuas hati kerana memulakan musim dengan kemenangan dan berjaya menunjukkan gaya permainan yang kami mahukan. Tetapi sekarang kami perlu melihat ke hadapan.


“Penang ialah pasukan yang berbeza dan perlawanan ini juga akan menjadi cabaran yang berbeza,” katanya.


Menurut Torres, Sabah perlu kekal konsisten dan agresif sepanjang 90 minit sekiranya mahu mengulangi keputusan positif di laman sendiri.


“Kami perlu konsisten, agresif dan terus berusaha sehingga wisel penamat,” katanya.

Dalam pada itu, Torres mengakui tempoh pemulihan yang singkat antara dua perlawanan menuntut pengurusan pemain yang lebih baik, namun persaingan sengit dalam sesi latihan memberi lebih banyak pilihan kepadanya untuk melakukan perubahan terhadap kesebelasan utama.


“Semua pemain kami berlatih dengan baik dan bersaing untuk memulakan perlawanan. Selagi pemain yang masuk dari bangku simpanan mampu memberikan sumbangan, kami mempunyai ruang untuk menyesuaikan kesebelasan utama,” katanya.


Mengenai sasaran mengutip enam mata daripada dua perlawanan pertama, Torres berkata Sabah sememangnya mahu menjadikan Stadium Likas sebagai gelanggang yang sukar ditawan, tetapi pembangunan pasukan tetap menjadi keutamaan.


Katanya, perkara itu lebih penting selepas Sabah menurunkan tujuh pemain baharu dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Star City.


“Kami mahu menang, tetapi yang paling penting ialah cara kami bermain dan usaha untuk terus membangunkan pasukan ini,” katanya.


Torres turut menegaskan bahawa keputusan akhir bukan satu-satunya ukuran terhadap prestasi pasukannya, sambil mengingatkan bahawa Sabah hanya benar-benar memperoleh kelebihan selesa ketika menentang Star City selepas minit ke-89.


“Jika kami sekali lagi mampu menerapkan gaya permainan kami dengan berkesan ketika menentang Penang, itu akan menjadi satu langkah yang sangat baik untuk pasukan ini,” katanya.


Sabah FC akan berdepan Penang FC pada aksi kedua Liga Super 2026–2027 di Stadium Likas, Jumaat ini, dengan sepak mula dijadualkan pada jam 7.30 malam.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page