MALAYAN TIGRESS TERSINGKIR,TEWAS KEPADA SINGAPURA DI PIALA AFF WANITA
- Editor

- Jul 18
- 1 min read

Hasrat skuad bola sepak wanita negara untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFF Wanita 2026 tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, pada khamis.

Keputusan itu menyaksikan Malayan Tigress menamatkan saingan di peringkat kumpulan selepas gagal mengumpul mata yang mencukupi untuk mara ke kelompok empat pasukan terbaik.
Selepas bangkit mengikat Laos 1-1 pada perlawanan pembukaan minggu lalu, skuad kendalian Joel Cornelli memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan atau keputusan seri dengan kelebihan lebih daripada satu jaringan ke atas Singapura bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Namun, Malaysia dikejutkan dengan jaringan pembukaan Singapura seawal minit ke-12 menerusi Yuvika Suresh sebelum Danelle Tan menggandakan kelebihan pelawat menjelang tamat babak pertama untuk meletakkan tuan rumah ketinggalan 0-2.
Malaysia kembali memberi saingan pada separuh masa kedua apabila Henrietta Justine berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-59 sekali gus menghidupkan semula peluang pasukan negara.
Bagaimanapun, harapan tersebut tidak bertahan lama apabila Singapura dihadiahkan sepakan penalti susulan insiden membabitkan penjaga gol Malaysia, Asma Junaidi, yang mengasari pemain lawan selepas lewat keluar bagi mempertahankan kawasan penalti.
Danelle tidak mensia-siakan peluang itu apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1, sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepada Singapura.
Malaysia terus berusaha mencari jaringan pada baki perlawanan dengan beberapa percubaan berbahaya, namun gagal menembusi benteng pertahanan lawan.
Keputusan itu mengesahkan penyingkiran Malayan Tigress daripada saingan Piala AFF Wanita 2026 selepas terkandas di peringkat kumpulan.





Comments