MFL: 12 KELAB SAH BERAKSI DALAM LIGA SUPER 2026-2027
- Editor

- Jul 10
- 2 min read

Sebanyak 12 kelab akan bersaing dalam saingan Liga Super musim 2026-2027 yang dijadual membuka tirai pada 21 Ogos ini, menurut pengumuman Malaysian Football League (MFL) hari ini.
Antara kelab yang telah mengesahkan penyertaan ialah juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC (dahulunya Imigresen FC), Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.
Bagaimanapun, satu lagi slot penyertaan hanya akan dimuktamadkan pada 16 Julai ini selepas badan bebas First Instance Body (FIB) bersidang bagi menentukan status PDRM FC.
Menurut MFL, PDRM FC sebelum ini diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai bagi mengemukakan maklumat tambahan untuk memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur.
Keputusan FIB itu kemudiannya akan dipertimbangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menilai tahap kesediaan serta kemampuan kelab berkenaan menguruskan operasi sepanjang musim 2026-2027.
Sekiranya PDRM FC gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, slot terakhir Liga Super dijangka diberikan kepada Kelantan Red Warrior FC yang beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro.
Kelantan Red Warrior FC, yang menamatkan saingan Liga A1 di tangga keempat musim lalu, dilaporkan telah melengkapkan semua dokumen berkaitan kriteria kewangan dan dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC serta Bunga Raya FC yang turut mengemukakan permohonan selepas menerima Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB.
Sementara itu, Armed Forces FC yang turut beraksi dalam Liga A1 tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai Liga Super musim depan.
MFL berpandangan penyertaan 12 kelab bagi musim 2026-2027 mampu memberikan impak positif kepada ekosistem Liga Malaysia kerana hanya kelab yang memenuhi syarat pelesenan, kewangan dan infrastruktur dibenarkan bertanding.
Langkah itu juga dilihat selaras dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) yang menekankan pengurusan kewangan secara berhemah, pembayaran gaji yang konsisten serta kelangsungan operasi kelab.
Selain meningkatkan daya saing pertandingan, pengurangan bilangan pasukan dijangka dapat mengurangkan risiko penyertaan kelab yang tidak bersedia dari aspek kewangan, di samping membantu mengurangkan kos operasi serta mewujudkan jadual pertandingan yang lebih teratur.
MFL turut memaklumkan kalendar Liga Malaysia musim 2026-2027 akan bermula dengan Perlawanan Sumbangsih yang juga menjadi aksi pembukaan Liga Super antara JDT selaku juara liga dan Kuching City FC selaku naib juara di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos 2026.
Keputusan perlawanan tersebut akan dikira sebagai perlawanan Liga Super, dengan saingan liga dijadual berakhir pada 23 Mei 2027.
Bagi saingan Piala FA, pertandingan akan berlangsung bermula 1 hingga 2 September 2026 sebelum aksi final pada 16 Januari 2027.
Sementara itu, kempen Piala Malaysia akan membuka tirai pada 22 hingga 24 Januari 2027 dengan perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 30 Mei 2027.
MFL Challenge Cup pula akan bermula pada 10 hingga 11 Februari 2027, manakala aksi final secara timbal balik dijadual berlangsung pada 11 dan 18 April 2027.
MFL bagaimanapun memaklumkan bahawa sebarang perubahan terhadap kalendar dan jadual pertandingan Liga Malaysia musim 2026-2027 adalah tertakluk kepada keputusan pihak pengurusan liga dari semasa ke semasa.





Comments