top of page

PARK JUN-HEONG UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA JDT SELEPAS DUA MUSIM

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jul 1
  • 2 min read

Pemain pertahanan Korea Selatan, Park Jun-heong, mengucapkan selamat tinggal kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menamatkan khidmatnya bersama juara Liga Super itu.


Perkara tersebut dikongsikan pemain berusia 33 tahun itu menerusi satu hantaran di media sosial Instagram, dengan menyifatkan tempoh dua musim bersama Harimau Selatan sebagai pengalaman yang amat bermakna dalam kariernya.



Menurut Park, beliau berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selain menghargai kepimpinan, falsafah dan sokongan yang diterimanya sepanjang bersama kelab itu.


"Masa yang saya luangkan di sini bukan sekadar satu pengalaman, tetapi satu perjalanan yang sangat berharga. Saya belajar, berkembang dan memperoleh banyak ilmu sepanjang berada di JDT.


"Saya amat menghormati dan berterima kasih atas kepimpinan, falsafah serta keikhlasan yang ditunjukkan oleh TMJ. Saya juga mendapat inspirasi daripada barisan kejurulatihan, rakan sepasukan, kemesraan rakyat Malaysia serta semangat luar biasa yang dipamerkan penyokong JDT," katanya.


Beliau berkata, segala pengalaman dan kenangan sepanjang bersama kelab itu akan sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya meskipun episod bersama JDT telah berakhir.


"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan saya peluang yang bermakna, pengalaman yang berharga dan hubungan yang indah.


"Walaupun tempoh kita bersama berakhir di sini, saya akan sentiasa membawa ilmu, nilai dan kenangan yang saya peroleh dari tempat ini bersama saya. Terima kasih untuk segalanya dan saya akan sentiasa menyokong JDT serta semua yang terlibat dalam perjalanan kelab ini," katanya.


Park menyertai JDT pada 2024 dan merekodkan 39 penampilan dalam semua pertandingan selain menyumbang lapan bantuan jaringan sepanjang dua musim bersama kelab berkenaan.


Sepanjang tempoh itu, beliau membantu JDT meraih beberapa kejuaraan termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.


Sementara itu, pemain pertahanan berkenaan kini dilaporkan dikaitkan dengan perpindahan ke Kuching City FC bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Super.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page