PIALA FA: BOLOS TIGA GOL, JDT TETAP MARA BERGAYA
- Editor

- Oct 3, 2025
- 1 min read

Johor Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan status mereka sebagai kuasa bola sepak tempatan apabila mara ke pusingan seterusnya Piala FA 2025/26 selepas menyingkirkan UM-Damansara dengan agregat 10-3, malam tadi.
Dalam aksi yang berlangsung penuh sengit itu, penyerang import Romel Morales muncul wira Harimau Selatan apabila meledak hatrik, sekali gus membuktikan ketajaman penyudahnya masih berbisa.
Bersama gandingan serangan bersama Heberty Fernandes, JDT bermula garang apabila hanya mengambil masa 15 minit pertama untuk meledak tiga gol pantas menerusi Morales, Juan Muniz Hidalgo serta Heberty.
Taktikal agresif yang diterapkan jelas memperlihatkan keghairahan anak buah Hector Bidoglio untuk menamatkan cabaran lawan sejak awal permainan.
Namun, kebangkitan mengejut dipamerkan UM-Damansara pada babak kedua apabila anak didik Ridzuan Abu Shah berjaya menggegarkan gawang JDT dengan tiga jaringan.
Thankgod Michael mencetuskan kejutan dengan gol pada minit ke-62, sebelum Anuar Ceesay menambah dua lagi pada minit ke-66 dan 73 untuk menghidupkan harapan pasukan universiti itu.
Bagaimanapun, pengalaman dan ketenangan JDT akhirnya menutup peluang lawan untuk melakukan kebangkitan lebih besar apabila mereka memastikan kemenangan bergaya dengan agregat 10-3, sekaligus meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini.
Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan kini boleh menumpukan perhatian kepada pusingan seterusnya sambil mengekalkan reputasi sebagai pasukan yang sukar digugat di pentas domestik.










Comments